Sunday, March 14, 2010

Sebutan kes Nasreen guna dokumen palsu, 16 April

KUALA LUMPUR 12 Mac - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 16 April ini sebutan kes aktres dan produser, Nasreen Ngasri (gambar) yang didakwa atas tuduhan menggunakan dokumen cagaran berharga yang palsu.

Pada prosiding hari ini, peguam yang mewakili Nasreen, Amir Feisal Ariff memaklumkan Hakim Asmadi Hussin bahawa pihak pendakwaan belum membekalkan dokumen yang diperlukan oleh beliau.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasuha Mohamed Ali yang mengesahkan perkara tersebut memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan.

Asmadi bagaimanapun menyatakan, sekiranya pihak-pihak berkenaan masih memohon tarikh baru pada prosiding akan datang, mahkamah akan terus menetapkan tarikh perbicaraan.

Nasreen, 27, atau nama timangannya, Darling pada 6 Februari lalu, didakwa atas tuduhan menggunakan dokumen cagaran berharga yang palsu.

Dokumen tersebut adalah 'Director's Circular Resolution Nasridz Pictures Sdn. Bhd.' bertarikh 16 Ogos 2007.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh Nasreen pada 16 Ogos 2007 di RHB Bank Berhad, Jalan Tun Razak di sini.

Nasreen didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pelakon itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment