Thursday, March 25, 2010

Sindiket jual resit tol palsu tumpas, empat ditahan

2010/03/26
SLIM RIVER: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan satu sindiket mencetak dan menjual resit palsu tol Plus Expressways (Plus), dipercayai terbesar di negara ini berikutan penahanan empat anggotanya termasuk dua wanita asing dalam serbuan ke sebuah rumah di hadapan Hentian Rehat dan Rawat di Jalan Slim River-Sungkai, di sini, petang semalam.

Sindiket itu dikatakan menjual resit tol kepada pemandu lori menggunakan lebuh raya itu ke semua destinasi di negara ini dan dikatakan mendapat permintaan kerana 'diskaun' diberi hingga mencecah 85 peratus.

Difahamkan, kegiatan itu menyebabkan Plus kerugian sehingga RM3 juta apabila pemandu lori membeli resit palsu sindiket yang dikatakan bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu dengan merempuh palang di plaza tol tanpa membuat pembayaran dan kemudian menggunakan resit palsu yang tercatat kadar sebenar untuk membuat tuntutan palsu kepada majikan masing-masing. Ketua KPDNKK Cawangan Tapah, Ahmad Shafie Hussin berkata, pihaknya bersama pengurusan Plus, menyerbu rumah yang dijadikan pusat kegiatan itu pada kira-kira jam 4.20 petang selepas Unit Risikan KPDNKK membuat intipan selama dua bulan di hentian itu yang dikenal pasti lokasi utama pemandu lori membeli resit palsu Plus.

"Dua suspek warga Indonesia berusia lingkungan 20-an bersama seorang lelaki berusia 40-an sedang mencetak resit palsu di rumah itu, manakala seorang lagi suspek juga berusia 40-an sedang berurusan dengan pemandu lori di hentian berkenaan terletak bertentangan rumah terbabit.

"Apabila serbuan dibuat, tiga suspek terbabit tidak dapat berbuat apa-apa dan menyerah diri, sebelum seorang lagi ditahan ketika suspek kembali ke rumah itu,” katanya di lokasi serbuan di sini, semalam.

Ahmad Shafie berkata, pemandu lori menjadikan hentian itu membeli tiket tol palsu Plus dengan hanya memaklumkan resit dikehendaki mengikut kelas serta plaza tol masuk dan keluar serta kadar tol kepada suspek yang bertemu mereka.

Katanya, selepas menerima maklumat pemandu lori, anggota sindiket menghubungi rakannya menggunakan 'walkie talkie' atau terus ke rumah itu untuk membuat cetakan resit seperti diminta.

Difahamkan, tiket palsu Plus dibeli mengikut kelas kenderaan iaitu Kelas Tiga berharga RM5 dan Kelas Satu berharga RM3.

Pemandu lori dikatakan mengelak membayar tol dengan melanggar palang tol walaupun syarikat sudah memberi wang tol dan kes sering berlaku di susur keluar Plaza Tol Slim River.

Ahmad Shafie berkata, pihaknya merampas tiga komputer dan tiga mesin cetak yang digunakan untuk membuat tiket palsu Plus.

Katanya, dua lelaki tempatan itu ditahan untuk disoal siasat, manakala dua warga Indonesia pula akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana hanya mempunyai salinan pengenalan diri saja.

Katanya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment