Thursday, March 4, 2010

Cubaan seludup tenggiling

ABD. Lajis Tahir menunjukkan salah seekor tenggiling yang cuba diseludup oleh nelayan di Muar, Johor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



MUAR 4 Mac 2010 - Cubaan dua lelaki untuk menyeludup masuk tenggiling hidup gagal apabila mereka bertempiaran lari semasa diserbu pasukan Polis Gerakan Marin (PGM) di jeti nelayan Parit Jawa di sini kelmarin.

Dalam operasi pukul 8.30 malam itu, PGM merampas 10 ekor tenggiling hidup, sebuah bot nelayan dan sebuah kereta yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Ketua PGM daerah Muar, Asisten Supritendan Abdul Lajis Tahir berkata, lelaki yang dipercayai nelayan tempatan itu sempat melarikan diri ketika serbuan dibuat.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemui dua karung plastik berisi tenggiling hidup, manakala lapan lagi karung mengandungi haiwan hidup ditemui dalam bot. Haiwan eksotik itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran," katanya pada sidang akhbar di sini.

Pihaknya percaya seorang lagi suspek turut mencampakkan beberapa tenggiling hidup ke dalam sungai sebelum melarikan diri.

Kata Abdul Lajis, penggunaan jeti nelayan untuk menjalankan kegiatan itu menunjukkan penyeludup semakin berani untuk bertindak secara terbuka.

"Sebelum ini, mereka biasanya menggunakan pangkalan haram atau kawasan terpencil di celah pokok bakau bagi mengelak dikesan polis," katanya sambil memberitahu operasi itu diketuai Pengawai Operasi PGM Muar, Inspektor Mohd. Naser Marzuke.

Abd. Lajis tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan tenggiling itu dilakukan oleh nelayan tempatan berdasarkan bot yang dirampas.

"Siasatan lanjut mendapati ini adalah malam ketiga penyeludupan haiwan itu dilakukan di jeti tersebut dan dipercayai transaksi tenggiling itu juga dilakukan di tengah Selat Melaka," katanya.
Kesemua tenggiling yang bernilai kira-kira RM12,000 itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment