Wednesday, March 3, 2010

Dalang diberkas polis

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

NUSAJAYA 2 Mac 2010 – Seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dan penjualan cakera padat digital (DVD) di bandar ini sejak tujuh tahun lalu, akhirnya diberkas polis.

Suspek yang berusia 30-an turut mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kegiatan haram tersebut melalui 20 premis menjual barangan itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek ditahan dalam serbuan di rumahnya di Taman Johor Jaya, kelmarin.

Katanya, suspek kemudian ditempatkan di Penjara Kluang di bawah Akta Kediaman Terhad 1933.

“Dia direman sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Balai Polis Anjung di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, seramai 281 orang telah diberkas atas kesalahan sama sepanjang tahun lalu, namun suspek adalah individu pertama ditahan tahun ini.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 113,848 keping DVD cetak rompak telah dirampas pihak polis dalam pelbagai operasi yang dijalankan bagi membanteras kegiatan itu.

Beliau berkata, biarpun telah banyak tangkapan dan serbuan dilakukan, golongan tersebut masih lagi terus melakukan jenayah sama.

“Akibat terlalu ‘cintakan’ wang ringgit dan kemewahan, mereka membelakangkan undang-undang dan sekali gus menjadi penjenayah,” katanya.

Sementara itu, katanya, dalam kejadian berasingan, seorang wanita kerugian sebanyak RM120,000 gara-gara percayakan e-mel diterimanya kononnya dia memenangi hadiah lumayan.

No comments:

Post a Comment