Sunday, March 14, 2010

UPP rampas 76 guni benih kerang seludup

RANTAU PANJANG 14 Mac 2010 - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 76 guni benih kerang bernilai RM52,000 yang dipercayai cuba diseludup di Kampung Banggol, Setol, dekat sini, petang semalam.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki dipercayai pemandu lori yang membawa benih kerang itu.

Menurutnya, kejayaan itu hasil serbuan yang dilakukan sepasukan enam anggota unitnya dari Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur, Tumpat, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai kira-kira pukul 7 malam.

"Kita percaya, kerang itu cuba diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri ini," katanya kepada pemberita di Pejabat UPP Pengkalan Kubur, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lori terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu berdasarkan lesen cukai jalan yang dipamerkan.

Menurutnya, semua barang kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kelantan untuk diambil tindakan lanjut.

Katanya, tangkapan barang kes tersebut mengikut Akta Perikanan 1983 di bawah Peraturan Perikanan Pemuliharaan (Kultur Kerang) dan jika sabit kesalahan boleh didenda di mahkamah sehingga RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment