Wednesday, March 31, 2010

Gagal seludup 500 liter diesel bersubsidi

KOTA KINABALU 31 Mac 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini mematahkan cubaan menyeludup 500 liter diesel subsidi setelah menahan sebuah lori di Kampung Rampayan, Menggatal dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, lori muatan tiga tan itu didapati menyorokkan diesel tersebut di bahagian atas lori berkenaan yang telah diubah suai.

Penolong Pegawai Pemerintah PGM Kota Kinabalu, Cif Inspektor Cyril Douglas berkata, diesel yang disorok itu ditutup dengan kain kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, turut ditahan, pemandunya yang merupakan warga asing berusia lingkungan 40-an.

"Siasatan ke atas pemandu itu masih berjalan dan diesel tersebut diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan ini adalah hasil daripada kerjasama dan maklumat orang awam yang berasa curiga dengan pergerakan lori tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta supaya terus memberi kerjasama kepada pihak PGM bagi membanteras sebarang penyeludupan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment