Thursday, April 1, 2010

Bekas Eksekutif Bank Negara diperintah bela diri tuduhan rasuah

2010/04/01
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang bekas eksekutif Bank Negara membela diri berhubung lima pertuduhan rasuah berjumlah RM26,985.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mahathir Shahabudin, 54, daripada Unit Pembersihan, Jabatan Harta dan Perkhidmatan.

Mohamad Sakeri berkata beberapa saksi telah mengesahkan bahawa mereka telah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun Mahathir setelah dimintanya. "Saksi pertama (Anuar Paharudin) memberi keterangan bahawa dia telah mendapat tender pada 2005 dan tertuduh telah meminta 10 peratus daripada nilai kontrak bagi setiap bulan.

"Saksi pertama juga berkata dia telah menerima SMS bahawa tertuduh memerlukan RM800 dan dia telah memasukkan duit itu ke dalam akaunnya.

"Saksi kelapan (M Azhar Ibrahim) berkata dia telah membuat pembayaran menggunakan dua keping cek kepada Mahathir kerana tertuduh telah memberitahunya jika tidak, pembayaran kontrak dari Bank Negara akan ditahan," katanya.

Mahathir didakwa melakukan kesalahan itu berhubung pemberian kontrak kepada dua syarikat yang terlibat dalam pembersihan sampah dan mencuci permaidani di bank pusat berkenaan.

Bagi kesalahan pertama dia didakwa menerima rasuah RM300 melalui akaun simpanannya daripada pengarah Syarikat First Choices Services, Anuar Paharudin, sebagai upah mengekalkan kerja kontrak pelupusan sampah yang dilakukan oleh syarikat itu untuk Bank Negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 1, Menara Maybank, Jalan Tun Perak pada jam 2.06 petang 18 November 2005.

Mahathir juga didakwa menerima RM300 melalui akaunnya daripada Anuar pada 4.47 petang di tempat yang sama pada 2 Disember tahun yang sama.

Untuk pertuduhan ketiga, Mahathir di lokasi yang sama didakwa menerima imbuhan RM800 lagi daripada Anuar bagi tujuan yang sama kira-kira 1 petang, 20 Oktober 2005.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima di tempat yang sama, Mahathir menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM8,575 dan RM17,010 pada 30 Disember 1995 dan 16 Februari 2006 daripada pengarah Syarikat Indramuz Sdn Bhd, M Azhar Ibrahim.

Dia didakwa menerima suapan itu sebagai upah untuk memanggil syarikat berkenaan menjalankan kerja-kerja pencucian permaidani di bank berkenaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 2008, pihak pendakwaan telah memanggil 12 orang saksi.

Mohamad Sakeri menetapkan 8 dan 12 April untuk sambung bicara.

Mahathir diwakili oleh peguam Vasudevan Appu manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah menjalankan pendakwaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment