Wednesday, April 7, 2010

Melaka & Negeri Sembilan: Pencuri pasir rakus

Oleh Mohd Amin Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/04/08
Pihak terbabit terus korek tebing sungai walaupun pernah didenda

NILAI: Penduduk Kampung Jijan dekat sini, semakin hilang sabar apabila kegiatan mencuri pasir di Sungai Jijan di kampung itu terus berleluasa walaupun tindakan menghalang pihak terbabit dilakukan, termasuk oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Kegiatan dipercayai berlarutan sejak lebih tiga bulan lalu bukan saja boleh mencemarkan sungai itu, malah mengundang bahaya kepada penduduk terutama yang tinggal berhampiran tebing sungai. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jijan, Sukor Jemaun, 43, berkata penduduk bimbang berikutan kegiatan mencuri pasir semakin rakus kerana tidak menghiraukan keselamatan penduduk di situ.

Katanya, terdapat tiga lokasi kerja pengorekan pasir di sungai itu iaitu di hulu, tengah dan hilir sungai.

"Kami beberapa kali menyuarakan bantahan kepada pihak terbabit, malah saya dimaklumkan PTG ada mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun RM10,000 terhadap pihak terbabit, tetapi mereka masih meneruskan kegiatan itu.

"Penduduk kampung yang tinggal berhampiran tebing sungai pula semakin bimbang dengan keselamatan mereka kerana kerja pengorekan pasir menyebabkan sungai semakin lebar, selain kegiatan itu turut menjadi punca runtuhan di tebing sungai," katanya.

Sukor berkata, jalan kampung menjadi rosak kerana kenderaan berat seperti lori pasir berulang alik memasuki kampung itu.

Katanya, tindakan pihak berkenaan meneruskan kegiatan mengambil pasir itu seolah mencabar arahan pihak berkuasa yang meminta mereka menghentikan kegiatan itu.

"Tindakan pihak yang mencuri pasir ini perlu dihentikan segera kerana ia bukan saja menjejaskan keselamatan penduduk, malah menjejaskan imej kampung ini," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas seperti merampas peralatan digunakan untuk mengelak kegiatan itu terus berleluasa.

Seorang penduduk, Osman Said, 42, berkata penduduk kampung kini bimbang dengan keselamatan mereka kerana kerja pengorekan pasir itu menyebabkan runtuhan tebing sungai, manakala kegiatan penternakan lembu yang dijalankan penduduk di tebing itu juga turut terjejas.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa JKKK kampung itu berkata, pihaknya hairan syarikat yang dipercayai beralamat di Johor itu dilihat kebal daripada undang-undang kerana langsung tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa supaya memberhentikan kegiatan pengorekan pasir secara haram itu.

Dia berharap pihak berkuasa dapat membantu mengambil tindakan sewajarnya supaya aktiviti mencuri pasir itu dihentikan serta merta demi kepentingan dan keselamatan penduduk kampung.

"Kami menjadi keliru kerana syarikat berkenaan terus menjalankan aktiviti itu seolah-olah mereka kebal daripada undang-undang walaupun pernah diberikan amaran dan dikenakan kompaun," katanya.

Sementara itu, jurucakap PTG daerah, ketika dihubungi berkata pihaknya membuat pemantauan terhadap kegiatan itu dan sedang meneliti tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.

Beliau memberi jaminan siasatan masih dijalankan dan tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit akan diambil dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment