Tuesday, April 27, 2010

Marin tahan lelaki seludup rokok

KUALA TERENGGANU 27 April 2010 - Pasukan Gerakan Marin Wilayah 3 menahan seorang lelaki dan merampas rokok seludup bernilai RM70,000 termasuk kompaun, dalam serbuan di Pasar Borong Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Ketua Bahagian Risik dan Operasi pasukan itu, DSP Mohd. Hassan Hashim berkata, lelaki tempatan, berumur 38 tahun itu merupakan pengedar rokok seludup yang aktif di kawasan berkenaan.

"Lelaki ini pernah ditahan kerana kes yang sama pada 2008 dan dikenakan denda RM30,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Hassan berkata, pihaknya telah mengikuti aktiviti lelaki tersebut sejak seminggu lepas sebelum menahannya kira-kira pukul 8.30 pagi ketika lelaki itu mengedar rokok kepada pelanggan di pasar borong itu.

Beliau berkata, sebuah kereta Nissan Sentra 1.6 VTC bernilai RM15,000 yang digunakan lelaki berkenaan juga turut dirampas.

Mohd. Hassan berkata, lelaki tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment