Sunday, April 4, 2010

Tembakau disorok di bahagian enjin kereta

Mohd. Noor Idris (dua kiri) bersama Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Mohd. Zunaidi Abdullah (kiri) melihat tembakau kering dalam bonet hadapan bahagian enjin kereta yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUBANG PASU 4 April 2010 - Helah seorang lelaki untuk menyeludup sejumlah tembakau dengan menyorokkan barangan itu di bahagian enjin kereta tidak berhasil apabila berjaya dikesan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.

Akibatnya lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pasukan tersebut pada pukul 11.20 pagi di Kilometer 4.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran pekan Changlun di sini hari ini.

Komander UPP negeri, Mohd. Noor Idris berkata, hasil pemeriksaan menemui bungkusan tembakau di bahagian enjin kereta jenis Mercedes-Benz itu selain beberapa bahagian lain di kereta terbabit.

Katanya, empat bungkus tembakau ditemui di bahagian enjin serta masing-masing dua bungkus di bawah tempat duduk penumpang belakang dan tempat menyimpan tayar di belakang kereta.

"Kesemua lapan bungkus tembakau seberat kira-kira 40 kilogram tersebut dianggarkan bernilai RM2,000 termasuk cukai yang cuba dielakkan.

"Ia dipercayai cuba dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran sekitar negeri ini yang boleh dijual pada harga lebih tinggi," katanya di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, ketika ditahan, lelaki rakyat tempatan itu cuba melepaskan diri daripada pemeriksaan dengan mendakwa merupakan seorang anggota keselamatan.

Katanya, siasatan awal percaya suspek yang pernah mempunyai kes kerana menyeludup cakera padat video (VCD) tahun lalu meminjam kereta berkenaan bagi memudahkan kegiatannya.

"Kami percaya suspek telah diupah untuk menyeludup tembakau itu ke negara ini," katanya.

Mohd. Noor memberitahu, lelaki itu kini ditahan di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengangkut barang larangan tanpa permit.

Sabit kesalahan, katanya, dia boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment