Thursday, April 1, 2010

Menteri beri keterangan rasuah

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/04/02
Ahli politik bantu siasatan kes ubah wang haram bekas Setiausaha Politik

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan daripada seorang menteri Selasa lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Setiausaha Politiknya.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali, ketika mengesahkan perkara itu berkata, keterangan menteri berkenaan diambil di pejabatnya di sini selama kira-kira dua jam bermula 3.30 petang. “Siasatan kes itu masih dijalankan dan kita berharap ia akan dapat diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Pada 11 Februari lalu, seorang Setiausaha Politik menteri Kabinet ditahan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram. Beliau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Lelaki yang dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 pada 14 Februari lalu didakwa memiliki sejumlah besar aset yang tidak diisytiharkan perolehannya, termasuk kereta mewah serta beberapa rumah.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, seramai 144 orang ditangkap sejak Januari hingga kelmarin berhubung pelbagai kes rasuah termasuk membabitkan dua ahli politik.
Daripada jumlah itu, katanya, 65 adalah kakitangan kerajaan peringkat sokongan, manakala 11 pengurusan dan profesional, 54 orang awam dan 12 kakitangan swasta.

Katanya, jumlah itu adalah peningkatan 25 orang berbanding 119 tangkapan yang dilakukan dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, sebanyak 46 kes sudah dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan rasuah.

Mengulas mengenai 10 penguat kuasa dari tiga agensi kerajaan yang ditahan SPRM di Terengganu pada Selasa lalu, beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya minggu depan.

Beliau berkata, semua mereka yang berusia antara 32 tahun hingga 55 tahun itu sudah dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan SPRM sebanyak RM3,000 selepas keterangan diambil.

Katanya, mereka yang terdiri daripada kakitangan kerajaan kumpulan sokongan didakwa mendapatkan rasuah untuk memberi perlindungan kepada sebuah syarikat menjual keluli antara RM500 hingga RM5,000 supaya tiada tindakan dikenakan terhadap syarikat itu.

Beliau berkata, tujuh daripada mereka ditahan di pejabat SPRM di Kemaman, Terengganu manakala tiga lagi ditahan di Kuala Terengganu antara jam 11 pagi hingga 1.30 petang

No comments:

Post a Comment