Wednesday, April 21, 2010

Tiga ditahan curi minyak masak RM600,000

JOHOR BAHRU 21 April - Tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat ditahan kerana melarikan empat buah kontena berisi 2,038 tong minyak masak dan 98 tong minyak mentah untuk membuat sabun bernilai RM600,000.

Kesemua mereka ditahan selepas dipercayai bertanggungjawab melarikan kesemua barangan itu di sebuah syarikat logistik di Pasir Gudang, dekat sini Isnin lalu.

Dalam dua kejadian pada pukul 1.30 pagi dan 2.45 pagi, dua lelaki bertindak melarikan empat buah kontena tersebut dari syarikat terbabit.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Mohd. Roslan Zainuddin berkata, dua buah kontena itu berisi minyak masak CP8 manakala bakinya minyak mentah.

Katanya, polis yang menjalankan siasatan menemui sebuah treler dengan dua buah kontena kosong di Ulu Tiram serta sebuah lagi treler berserta dua lagi kontena di Taman Molek, pada pukul 12.45 tengah hari pada keesokannya.

"Bertindak atas maklumat, polis telah menahan pemandu treler dan pengawal keselamatan pada Rabu. Kedua-duanya bertugas pada hari kejadian.

"Pada Khamis, kami menahan seorang lagi lelaki di Taman Kota Puteri, Masai pukul 2 petang," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Roslan berkata, hasil maklumat, polis menemui semula kesemua minyak masak itu di sebuah gudang pemborong baja kimia di Masai, di sini.

Beliau berkata, kesemua empat kontena itu adalah untuk tujuan eksport.

Tambahnya, siasatan awal ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan," katanya

No comments:

Post a Comment