Sunday, April 4, 2010

Denda jualan langsung haram RM5 juta?

BERA 4 April - Pihak yang menjalankan aktiviti jualan langsung secara haram bakal dikenakan denda lebih berat sehingga RM5 juta apabila Akta Jualan Langsung 1967 dipinda tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan pindaan tersebut mendapat kelulusan Peguam Negara untuk dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.

"Selepas mendapat kelulusan Kabinet, kita akan bentang di Parlimen pada sesi pembentangan kali ini," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah-mesra bersama 200 ahli jawatankuasa Persatuan Gabungan Wanita Felda Parlimen Bera di Pejabat UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, menerusi pindaan akta itu, individu yang terbabit dengan kegiatan jualan langsung secara haram seperti gores dan menang, skim piramid dan perniagaan bertingkat (MLM) boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.

Menurut beliau, bagi syarikat yang didapati bersalah kerana terbabit dengan kegiatan seumpama itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta.

Katanya, akta jualan langsung sedia ada memperuntukkan hukuman denda lebih ringan iaitu RM250,000 kepada pesalah individu manakala syarikat dikenakan denda RM500,000.

Pindaan itu juga jelas beliau, bertujuan memberi definisi yang lebih tepat kepada aktiviti jualan langsung yang meliputi MLM dan skim piramid.

"Pada masa ini, definisi jualan langsung terlalu kabur. Ia tidak menjelaskan perbezaan antara skim piramid dengan MLM," katanya.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata, kegiatan penipuan dalam jualan langsung dianggap tidak terlalu serius tetapi ia terus berlaku terutama membabitkan suri rumah dan golongan miskin di luar bandar.

"Pindaan ini bertujuan melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa pihak yang cuba mengaut keuntungan besar menerusi penipuan," tegasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen peraduan gores dan menang kepada mana-mana peniaga.

"Oleh itu, orang ramai yang didatangi pihak yang menawarkan peraduan gores dan menang diminta melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa," katanya.

Menurut beliau, pihaknya dengan kerjasama polis dan Kementerian Kewangan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kegiatan jualan langsung secara gores dan menang tersebut.

Orang ramai boleh terus menghubungi talian hotline 1-300-888-25 untuk melaporkan kegiatan jualan langsung haram kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

No comments:

Post a Comment