Sunday, April 18, 2010

Penyamar kastam tipu peniaga

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/04/19


SAPINAH menunjukkan tempat rokok dan wang tunai di kedai runcitnya dirampas di Felda Lubuk Merbau, semalam.Mangsa dakwa tiga lelaki pakai jaket gelap rampas pelbagai barang, wang

SIK: Tujuh peniaga kecil di sekitar daerah ini, Padang Terap dan Sungai Petani menjadi mangsa sekumpulan empat lelaki yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang merampas pelbagai barangan dan wang tunai membabitkan kerugian ribuan ringgit.

Kumpulan empat lelaki terbabit dipercayai berusia 40-an hingga 50-an memakai pakaian kastam, termasuk mempunyai kad kuasanya dikatakan menyasarkan peniaga runcit di kawasan kampung kerana mudah diperdaya. Mereka dikatakan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria berwarna hitam dan memasuki kedai runcit penduduk kononnya untuk melakukan pemeriksaan dan merampas barangan yang didakwa haram selain meminta wang sebagai balasan tidak dikenakan tindakan undang-undang. Seorang peniaga di Kampung Kura, Sik, Boon Liam, 60, berkata, dia didatangi tiga lelaki berjaket gelap, manakala seorang lagi menunggu di dalam kereta kira-kira jam 4 petang 11 April lalu yang mendakwa mereka adalah anggota penguat kuasa KDRM.

"Seorang daripada lelaki itu menunjukkan sekeping kad sekali imbas saja dan memperkenalkan diri anggota kastam untuk memeriksa barangan tidak bercukai. Mereka mendakwa saya ada menyimpan minuman keras haram dan merampasnya serta menakut-nakutkan saya mengenai tindakan dan denda yang boleh dikenakan.

"Mereka meminta wang RM600 tetapi saya hanya mampu memberi RM200. Mereka merampas minuman keras bersama wang itu dan pergi begitu saja," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi peniaga dari Kampung Sungai Siput, Felda Lubuk Merbau, Sapinah Dahman, 50, berkata, dia didatangi tiga lelaki mendakwa anggota kastam pada pada hari sama yang merampas beberapa karton rokok bersama wang tunai yang semuanya bernilai kira-kira RM2,000.
Sementara itu, Pengarah KDRM Kedah, Saadon Mohd Dros, ketika dihubungi semalam berkata, kastam sentiasa menjalankan operasi intipan dan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyimpan, menjual, membekal atau memiliki barangan tidak bercukai tetapi tidak pernah mengenakan bayaran untuk berkompromi dengan pesalah

No comments:

Post a Comment