Sunday, April 18, 2010

64 orang ditangkap jual minyak di sempadan

KUALA LUMPUR 15 April 2010 - Seramai 64 orang ditangkap setakat ini kerana melanggar larangan jualan minyak di kawasan sempadan melibatkan nilai RM313,696.57.

Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 18 individu ditahan di Perlis, 38 di Kedah dan lapan lagi di Kelantan.

"Pecahan ialah 62,700 liter diesel dengan nilai RM205,518.30 dan 27,875.04 liter petrol dengan nilai RM108,178.27 telah disita daripada jumlah tangkapan ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abu Bakar bertanyakan mengenai kes penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran serta jumlah tangkapan yang dilakukan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Kerajaan telah menguatkuasakan peraturan dengan mengehadkan penjualan petrol dan diesel hanya 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak dalam radius 50 kilometer dari sempadan sejak 16 Disember 2009.

Menurut Ismail Sabri, berdasarkan peraturan tersebut, kini terdapat penurunan kira-kira 25 peratus daripada jumlah kenderaan asing yang masuk ke negara ini bertujuan mengisi minyak di sempadan negara.

Beliau berkata, kementerian memang menyedari aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran berlaku di sempadan negara kerana perbezaan harga di kalangan negara ASEAN.

"Justeru, beberapa tindakan telah diambil kementerian antaranya dengan meningkatkan penguatkuasaan di sempadan melalui penempatan pegawai di beberapa Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)," katanya.

Tambahnya, tempat-tempat berkenaan termasuk Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur di Kelantan, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah, Gerik di Perak serta Kuala Perlis, Wang Kelian dan Padang Besar di Perlis.

Dalam pada itu, beliau berkata, pegawainya turut ditempatkan di Pusat CIQ Johor Bharu dan Tebedu, Sarawak bagi memantau aktiviti tersebut di sempadan Malaysia-Singapura serta Malaysia-Indonesia.

"Kementerian juga mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan kuasa lebih berkesan dari segi penguatkuasaan di kawasan sempadan termasuk kuasa memberhentikan kenderaan dan memeriksa kapal," katanya.

Mengenai sama ada subsidi petrol kepada nelayan akan dimansuhkan, Ismail Sabri berkata, perkara itu belum diputuskan kerana kajian terhadap isu berkenaan masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment