Wednesday, March 17, 2010

RM1.2j suap lulus 4,337 visa pekerja

Oleh Norhashimah Mohd Radzal
norhashimah@bharian.com.my
2010/03/18
Saksi ke-21 kes rasuah bekas ketua pegawai imigresen buat tiga kali pembayaran

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, urusan meluluskan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, membabitkan pembayaran RM1.2 juta.

Datuk Zulkafli Maulud, 53, yang menjalankan perniagaan perkapalan, pembekalan senjata api dan pengambilan pekerja asing berkata, beliau membuat tiga kali pembayaran berjumlah RM1,214,360 kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian. Saksi ke-21 itu berkata, bagi pembayaran terakhir beliau membawa wang tunai RM256,400 dan cek bernilai RM98,000 untuk diberikan kepada Low di Cafe Paya Serai, Hotel Hilton Petaling Jaya.

“Saya sampai di hotel itu bersama beberapa pegawai BPR (Badan Pencegah Rasuah) lebih kurang pada jam 9.45 malam dengan wang tunai RM256,400 yang saya terhutang pada Low. Saya pasti jumlahnya itu kerana saya juga membawa sekeping cek berjumlah RM98,000.

“Cek saya peroleh daripada majikan yang memohon visa, manakala wang tunai pula separuhnya adalah daripada BPR,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Ariffin Ismail dalam pemeriksaan utama.

Zulkafli berkata, Low tiba bersama isterinya yang dikenali sebagai Datuk Yong, pada jam 10 malam dan ketika itu ada tiga pegawai BPR yang berpakaian biasa duduk di sebelah mejanya.
“Saya ditugaskan menyerahkan wang dan cek kepada Low di bawah pengawasan pegawai BPR. Low dan isterinya duduk semeja dengan saya, saya serahkan duit dan cek bagaimanapun Low tidak mahu menerima cek itu kerana beliau mahu saya menunaikannya.

“Selepas mendapat pengesahan wang sudah diserahkan, pegawai BPR kemudian datang ke meja kami dan membawa (menahan) Low dan isterinya secara berasingan. Kami kemudian dibawa ke Ibu pejabat BPR di Putrajaya,” katanya.

Zulkafli memberi keterangannya dalam perbicaraan kes Wahid, 57, yang menghadapi tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada Low sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin bersambung hari ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang off Jalan Duta di sini, pada jam 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal, manakala Wahid diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment