Friday, March 5, 2010

LPKP buat laporan polis pemohon palsukan dokumen

KUALA LUMPUR 5 Mac 2010 - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan membuat laporan polis terhadap pemohon permit yang memalsukan dokumen permohonan mereka.

Pengerusinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihaknya telah mengenal pasti 610 permohonan dipercayai palsu daripada sejumlah 6,354 yang diterima sejak 12 Julai tahun lalu.

Katanya, permohonan yang mengemukakan dokumen palsu itu melibatkan 549 kelas lesen pembawa 'A', 37 lesen pembawa 'C', 13 bas pekerja, lapan bas sekolah, dua bas sewa dan satu bas ekspres.

"Antara dokumen yang didapati telah dipalsukan ialah surat pengesahan pihak berkuasa tempatan (PBT), salinan perjanjian kontrak, penyata akaun bank, salinan lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dan salinan lesen memandu kenderaan pengangkutan awam (PSV).

"Semua permohonan palsu tersebut akan ditolak kerana ia menyalahi peruntukan perundangan yang ditetapkan di bawah Seksyen 42, Akta LPKP 1987," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, Halimah menyeru semua pemohon yang berurusan dengan LPKP agar lebih bertanggungjawab bagi meningkatkan integriti dalam sistem penyampaian kerajaan.

No comments:

Post a Comment