Thursday, March 11, 2010

Cubaan seludup keluar petrol gagal

Seorang anggota PGM memeriksa petrol yang dirampas ketika cuba diseludup keluar di perairan Laut Sahabat 16, Lahad Datu, awal pagi kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



LAHAD DATU 11 Mac 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Lahad Datu merampas sejumlah 2,200 liter petrol yang cuba diseludup keluar dari negara ini di perairan Laut Sahabat 16 dekat sini awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Lahad Datu, Asisten Supritendan Rusdin Banin berkata, petrol bernilai kira-kira RM3,960 itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot kira-kira pukul 1 pagi.

"Dalam operasi 'Ops Tayang' yang diketuai oleh Inspektor Ahmad Puad Othman itu, PGM turut menahan dua lelaki termasuk juragan bot berkenaan.

"Kita juga turut menyita bot berkenaan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan PGM Lahad Datu di sini hari ini.

Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau memberitahu, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan individu lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai terus memberikan kerjasama kepada polis bagi menghapuskan aktiviti jenayah dan penyeludupan di daerah ini.

"Kita berharap orang ramai akan terus memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui apa-apa kegiatan menyalahi undang-undang termasuk penyeludupan," katanya.

No comments:

Post a Comment