Monday, March 1, 2010

Bekas pemandu pelancong dipenjara setahun rasuah pegawai polis (2/3/10)

KUANTAN: Seorang bekas pemandu pelancong dipenjara setahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memberi rasuah RM4,000 kepada seorang pegawai polis, hampir dua tahun lalu.

Hakim Hassan Abdul Ghani memerintahkan Rizhan Johari, 34, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 Ogos 2008, serta dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa memberi rasuah wang kepada Cif Inspektor Ahmad Yanee Nazir sebagai dorongan untuk tidak melakukan tangkapan terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 di tempat letak kereta Santuary Beach Resort, Beserah di sini, kira-kira jam 3.40 pagi, 5 Ogos 2008.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Rizhan, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah, terhadap pertuduhan itu menukar pengakuan kepada bersalah semalam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Haw. - Bernama

No comments:

Post a Comment