Thursday, March 4, 2010

2 lelaki menyamar diburu

KUALA TERENGGANU 4 Mac 2010 - Polis memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam 14 kes penipuan menggunakan nama-nama individu berjawatan tinggi di sini, sejak dua bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, kegiatan kedua-duanya mengakibatkan mangsa kerugian RM30,000.

Katanya, kedua-dua identiti suspek yang diburu masih belum dikenal pasti bagaimanapun mereka dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bank di Arau, Perlis.

Katanya lagi, kedua-dua suspek dipercayai membuka dua akaun di atas nama orang perseorangan di bank terbabit untuk menjalankan kegiatan mereka.

"Siasatan awal mendapati, suspek bergiat aktif di seluruh daerah dan mensasarkan kontraktor yang berurusan dengan pejabat daerah dan institusi pendidikan dalam pelbagai projek," katanya di sini hari ini.

"Modus operandi kedua-dua suspek ialah menelefon mangsa dan menyamar sebagai orang berjawatan seperti pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis (YDP), pengetua sekolah dan pegawai pembangunan universiti.

"Mereka kemudian memaklumkan memerlukan sejumlah wang dengan menggunakan alasan kecemasan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Azmi, polis percaya kedua-dua suspek berasal dari Perlis dan bergiat aktif dari negeri ke sebuah negeri yang lain.

Tambahnya, sindiket tersebut dipercayai dianggotai oleh lebih dua orang dan mula aktif sejak akhir tahun lalu.

Jelasnya, polis percaya kes tersebut turut berlaku di negeri lain dan dipercayai dilakukan oleh sindiket yang sama.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di talian 09-6354820 atau mana-mana balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment