Monday, March 22, 2010

Awas pencuri meter air lama

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 22 Mac 2010 - Ketika Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) berusaha menukar lebih 80,000 meter air lama di premis pengguna seluruh negeri ini, ia menarik perhatian pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mencurinya.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Haswan Hassan memberitahu, sebanyak 50 kes dikesan di beberapa jajahan termasuk di Pasir Mas dan berdasarkan laporan polis yang dibuat, sudah ada tangkapan dilakukan.

Katanya, mereka yang terbabit antara lain cuba menyakinkan pengguna dengan menyamar sebagai kontraktor atau subkontraktor yang dilantik oleh AKSB bagi menjalankan tanggungjawab itu.

''Mereka menunjukkan contoh meter digital (smart meter) dalam bentuk plastik kepada pengguna dan memaklumkan meter asal atau lama yang diperbuat daripada logam (tembaga) itu akan dicabut serta-merta.

''Mereka juga memberitahu pengguna kononnya meter baru boleh dituntut di pejabat AKSB terdekat. Malah, ada yang cuba mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna atas kerja-kerja yang kononnya mereka lakukan," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, mereka juga dikesan mencabut dan mencuri meter lama di premis yang tidak berpenghuni dengan sewenang-wenangnya dengan alasan notis makluman telah diberikan.

Katanya, gejala ini secara tidak langsung telah memberi imej tidak baik kepada AKSB selaku operator tunggal pembekal air di negeri ini di samping menimbulkan masalah kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna agar berhati-hati termasuk mendapatkan salinan surat kebenaran penukaran daripada kontraktor sebelum memberikan kebenaran.

''Orang ramai juga diingatkan supaya jangan membuat pembayaran kerana tiada sebarang caj dikenakan bagi penukaran meter yang perlu dilakukan serta-merta.

''Akibat kecurian itu, AKSB serta pengguna hadapi masalah seperti terpaksa menanggung kos menggantikan semula meter dan kemungkinan bacaan meter tidak tepat berikutan tiada rekod dicatatkan selepas meter lama dicuri dan digantikan dengan meter baru.

''Juga timbul aduan bekalan air dipotong tanpa sebab kerana rekod menunjukkan tiada tunggakan bil. Ini kerana meter lama tersebut dicabut," ujarnya.

Katanya, dalam usaha menanganinya, AKSB akan memastikan kontraktor utama yang dilantik dan subkontraktor mereka memantau dengan lebih dekat kerja-kerja yang dilakukan di samping bekerjasama dengan pihak polis.

Beliau menjelaskan kerja-kerja penukaran meter ini telah dimulakan pada 2008 lagi dan sehingga kini lebih separuh telah dilakukan sebagai salah satu usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).

Katanya, penggunaan meter baru ini yang dapat mengelak alat itu menjadi sasaran pencuri mempunyai bacaan lebih tepat serta jangka hayatnya melebihi 15 tahun berbanding meter lama yang cuma tujuh tahun dan bacaan mulai terjejas selepas penggunaan tiga tahun.

''Kerja-kerja itu dijangka diselesaikan pada Ogos 2011. AKSB memperuntukkan RM129 juta bagi mengatasi NRW yang turut melibatkan penggantian paip jejari lama bagi elak kebocoran di samping memastikan persempadanan air mengikut sistem agihan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment