Friday, March 19, 2010

250 warga India terkandas ditipu ejen

KUALA LUMPUR 19 Mac 2010 - Mereka sanggup membayar RM20,000 seorang semata-mata untuk datang ke negara ini bagi mencari pekerjaan. Bayaran itu merupakan upah untuk ejen yang menguruskan kemasukan pekerja ini selain bayaran proses dokumen perjalanan mereka ke Malaysia.

Namun, dengan jumlah tinggi yang dibayar itu selain terpaksa meninggalkan negara sendiri untuk mencari rezeki di Malaysia, sudah pasti mereka tidak menyangka nasib buruk yang akan menimpa.

Itulah sengsara yang ditanggung kira-kira 250 warganegara India yang terkandas di negara ini selepas menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat mencari pekerjaan tempatan sejak Jun tahun lalu.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dikatakan masuk ke negara ini secara sah pada bulan Jun tahun lalu namun gagal mendapat sebarang peluang pekerjaan sehingga hari ini.

Menurut seorang wakil kumpulan itu, Sampuran Singh, 50, lebih malang lagi, wakil ejen tersebut turut menghilangkan diri beberapa hari lalu dan gagal dihubungi.

"Mengikut perjanjian dengan ejen tersebut, kami akan mendapat peluang pekerjaan sebaik sahaja masuk ke Malaysia.

"Kami turut diminta membayar RM20,000 setiap seorang sebagai bayaran memproses dokumen perjalanan serta upah kepada ejen berkenaan," katanya di sini hari ini.

Sampuran berkata, kesemua warga India yang menjadi mangsa penipuan itu kini ditempatkan di sebuah asrama di Jalan Chow Kit dan diberi makan sehari sekali.

"Selepas sembilan bulan berada di negara ini, kami masih belum mendapat pekerjaan. Kami turut berhadapan dengan masalah apabila semua pasport dan dokumen perjalanan telah diambil oleh ejen berkenaan.

"Sehubungan itu, kami membuat aduan kepada Pejabat Kedutaan India di Malaysia dan berharap mereka dapat membantu kami pulang ke tanah air," katanya.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, aduan tersebut akan disiasat dan dirujuk kepada majikan.

Bagaimanapun, pihaknya enggan mengulas lanjut berhubung kes itu.

No comments:

Post a Comment