Friday, March 12, 2010

UPP tahan warga emas simpan petrol secara haram

PADANG BESAR 12 Mac 2010 - Seorang lelaki warga tempatan ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) kerana menyimpan 630 liter petrol bersubsidi bernilai RM1,194 tanpa kebenaran di rumahnya di Pekan Kaki Bukit di sini semalam.

Komander UPP Padang Besar, Asisten Supritendan Noor Janihan Nayan berkata, lelaki berusia 54 tahun itu cuba melepaskan diri dengan menunjukkan salinan surat Permohonan Kuasa Khas yang membenarkan dia menyimpan petrol berkenaan.

"Bagaimanapun surat itu menunjukkan bahawa ia sudah luput tarikh malah surat berkenaan hanya membenarkan penyimpanan 100 liter petrol bersubsidi sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, pihak UPP yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan mendapati sebuah rumah yang bahagian hadapannya dipenuhi dengan 21 tong yang setiap satu berisi 30 liter petrol dan 12 tong kosong.

"Seorang lelaki telah mengaku sebagai tuan punya minyak berkenaan dengan menunjukkan surat kebenaran tetapi surat itu sudah luput tarikh malah sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya.

Menurut beliau, lelaki berkenaan dipercayai mengaut keuntungan cepat dengan menjual petrol bersubsidi secara haram kepada warga asing dan warga tempatan dengan nilai RM2.20 seliter berbanding harga biasa iaitu RM1.80.

"Difahamkan dia menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa dan mengumpul petrol berkenaan di hadapan rumahnya setelah mengambil petrol itu di stesen-stesen minyak berhampiran," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang mewarisi perniagaan bapanya menjual petrol pernah dikenakan kompaun pada 2007 atas kesalahan yang sama.

Noor Janihan berkata, lelaki berkenaan diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment