Tuesday, March 2, 2010

Syarikat pemborong disyaki tipu RM6.16 juta

IPOH, 2/3/10: Sebanyak 30 syarikat mendakwa ditipu sebuah syarikat pemborong di sini bulan lalu dengan nilai kerugian lebih RM6 juta, kata Timbalan Ketua Polis Perak, Senior Asisten Komisioner I Datuk Zakaria Yusof.

Beliau berkata sebanyak 30 laporan terhadap syarikat berkenaan diterima pihaknya dalam tempoh seminggu bermula 17 Februari lalu.

"Bermula 17 Feb sehingga 24 Februari lalu, polis menerima 30 laporan daripada pembekal terhadap syarikat terbabit kerana gagal membuat pembayaran bagi barangan yang diterima daripada pelanggan dengan membabitkan kerugian sebanyak RM6,166,771.

"Ini kes penipuan terbesar di negeri ini setakat ini," katanya kepada pemberita sekepas melawat pasar raya Jaya Jusco, di sini hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, polis kini sedang mencari empat pengarah syarikat pemborong Lian Hup Kee Marketing Sdn Bhd bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Empat lelaki terbabit, tiga daripadanya dipercayai mempunyai pertalian keluarga ialah Chea Kim Hong, 52, beralamat di Lorong Kledang Timur 10, Taman Sri Intan; Chea Kim Hon, 49, beralamat di Persiaran Kledang Timur 3; Chong Kok Leong, 41, dari Laluan Kledang Timur 6, dan Chea Wei Seng, 32, dari Lorong Kledang Timur 10, Taman Sri Intan.

"Semuanya tinggal di kawasan Menglembu di sini," katanya.

Zakaria, siasatan awal polis mendapati syarikat berkenaan yang beralamat di Kawasan Perindustrian Chandan Raya, Menglembu telah ditutup perniagaannya dan keempat-empat pengarah syarikat telah menghilangkan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai empat lelaki tersebut diminta menghubungi polis di talian 05-5486751 atau 019-5900771. - Bernama

No comments:

Post a Comment