Thursday, March 18, 2010

Warga Republik Chech didakwa cuba tipu peniaga

KLANG 18 Mac 2010 - Seorang warganegara Republik Chech dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba menipu peniaga minyak dengan menjual cek bernilai RM480 juta pada harga RM336 juta pada bulan lalu.

Antonin Posposil, 68, mengaku tidak bersalah cuba menipu V. Mahendren, 31, untuk mempercayai bahawa cek bernilai RM480 juta dijual dengan harga RM336 juta.

Posposil didakwa melakukan perbuatan itu di No. 19, Jalan Mata Kucing, Telok Gadong, dekat sini pada pukul 11.30 petang, 22 Februari lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, warga emas itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Nurul Maisarah menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan serta memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

No comments:

Post a Comment