Tuesday, March 16, 2010

Perhilitan rampas 29,196 hempedu ular

KUALA LUMPUR 16 Mac 2010 - Seekor ular sawa hanya memiliki satu hempedu. Ini bermakna untuk mendapatkan sebanyak 29,196 hempedu ular, maka itulah bilangan reptilia itu yang perlu diburu dan dikorbankan.

Jumlah itu ternyata mengejutkan tetapi hakikatnya ia benar-benar berlaku.

Kegiatan memburu ular sawa untuk mendapatkan hempedunya terbongkar berikutan kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas kepingan hempedu yang sudah diawet itu dari sebuah kedai menjual binatang di Kulim, Kedah pada 9 Mac lalu.

Ia merupakan rampasan terbesar hempedu ular yang dibuat oleh Perhilitan setakat ini.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaannya, Saharudin Anan berkata, dalam serbuan itu, peniaga tersebut turut didapati memiliki secara haram 31,596 kepingan besar kulit ular sawa serta 4,058 kepingan kecil kulit reptilia sama di premis perniagaannya.

"Walaupun premis perniagaan itu berlesen, kami percaya pemiliknya iaitu seorang lelaki berusia 40-an menjalankan kegiatan jual beli organ haiwan tersebut secara haram.

"Lelaki itu tidak ditahan namun kesemua barangan itu dirampas untuk siasatan lanjut. Dia akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya kami ada bukti kukuh untuk mendakwanya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Perhilitan di Cheras di sini hari ini.

Saharudin menambah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan barang yang dirampas itu adalah untuk dieksport berdasarkan jumlahnya yang banyak.

Dalam satu lagi serbuan pada 10 Mac lalu, Perhilitan menahan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Teluk Intan, Perak kerana disyaki menyimpan tiga ekor tenggiling betina serta memiliki sekeping sisik haiwan itu.

Menurut Saharudin, kesemua tenggiling itu ditemui dan disimpan dalam stor dan bilik tidur rumah suspek.

Keempat-empat suspek dalam kedua-dua serbuan bakal berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, Akta 76 jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment