Tuesday, May 4, 2010

Tawar kursus tanpa kelulusan KPT kolej didenda RM15,000

05/05/2010 1:54pm

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics dijatuhkan hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengendalikan kursus pengajian tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi, dua tahun lepas.

Majistret Nor Shakinah Ahmad Kamarudin mengenakan denda terhadap kolej itu selepas ketua eksekutifnya, Prof Dr Nazaruddin Mohamed Jali yang mewakili kolej berkenaan mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu.

Kolej berkenaan membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, kolej itu didakwa mengendalikan kursus Diploma Multimedia Kreatif tanpa mendapat kelulusan Menteri Pengajian Tinggi terlebih dahulu.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kolej itu didakwa melakukan kesalahan yang sama bagi kursus Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering.
Kolej itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Maluri, Jalan Jejaka, Taman Maluri pada 12.30 tengahari, 4 Nov 2008.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 38 (1) (a) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 38 (2) Akta yang sama dan boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment