Friday, May 21, 2010

Seludup gula: Remaja ditahan

Aktiviti penyeludupan gula dan barang-barang lain ke daerah Sungai Golok, Thailand melalui pengkalan haram di Rantau Panjang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



RANTAU PANJANG 20 Mei 2010 - Jenayah penyeludupan gula ke daerah Sungai Golok, Thailand yang semakin berleluasa nampaknya bukan sahaja dilakukan orang dewasa tetapi golongan remaja juga dikesan mula melibatkan diri dalam kegiatan itu.

Penglibatan mereka dikesan selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (PPDNKK) dengan kerjasama Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) menahan seorang remaja tempatan berusia 18 tahun bersama 468 kilogram gula yang disorok di rumahnya.

Ketua PPDNKK cawangan Pasir Mas, Hanafi Mamat berkata, remaja terbabit dipercayai membeli gula berkenaan di beberapa kedai di daerah ini untuk dikumpul sebelum dijual ke negara jiran pada harga kira-kira RM2.90, berbanding RM1.80 harga di negara ini.

"Serbuan dilakukan pukul 6 petang semalam di Chabang Empat, Salam. Remaja ini juga dikatakan menjadi dalang kepada penyeludupan gula ke daerah itu.

"Sewaktu ditahan, kita menemui 468 kilogram gula bernilai RM1,747 dalam rumah remaja itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, remaja tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman RM100,000 atau tiga tahun penjara jika didapati bersalah.

Menurut Hanafi, tarikan harga yang lebih tinggi di negara jiran itu menjadi sebab utama ramai rakyat tempatan sanggup menyeludup barang kawalan itu.

"Sehingga bulan Mei ini, kita telah merampas sebanyak 13,362 kilogram gula yang hendak diseludup ke negara jiran bernilai RM22,047," katanya.

Utusan Malaysia kemudian membuat tinjauan di Sungai Golok selebar kira-kira 50 meter yang menjadi pemisah antara kedua-dua negara mendapati, aktiviti penyeludupan pelbagai jenis barang menggunakan sampan ke daerah itu berleluasa tanpa sebarang kawalan.

Selain gula, beberapa barang keperluan harian seperti lampin pakai buang dan minyak masak sangat mudah dibawa keluar dari sempadan negara ini tanpa sekatan daripada pihak berkuasa.

Di samping itu, beberapa rakyat Thailand turut mengambil peluang menawarkan perkhidmatan sampan untuk menghantar penumpang menyeberangi sungai berkenaan dari kedua-dua arah dengan bayaran RM1 sehala.

Seorang pemilik sampan warga yang berasal dari daerah Sungai Golok, Ibrahim Awang Lah, 56, berkata, pengangkutan itu menjadi pilihan utama masyarakat berhampiran yang tidak mempunyai dokumen sah untuk keluar masuk.

"Sampan digunakan untuk menyeludup keluar barang dari Malaysia kerana jika jalan darat diguna, banyak pemeriksaan terpaksa dilalui dan selalunya pihak berkuasa akan merampas barang," jelasnya

No comments:

Post a Comment