Tuesday, May 11, 2010

Dua hadapi tuduhan lulus pindah saham RM1.3 juta

2010/05/12
ALOR SETAR: Dua pengarah sebuah syarikat pembinaan tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan meluluskan pemindahan saham syarikat bernilai RM1.3 juta tanpa kebenaran pemilik saham itu, lebih setahun lalu.

Khairul Nizamullah Halim, 30, dan Haslinda Mohamad, 32, kedua-duanya dari Jitra, dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu di No 5 Lorong Pantai Halban 1, Taman Desa Perdana, Jitra, pada 22 Disember 2008. Mengikut kertas pertuduhan, Khairul Nizamullah dan Haslinda didakwa bertindak dengan tidak munasabah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengarah Syarikat Purata Abadi Sdn Bhd. Mereka yang juga defendan kedua dan ketiga, dituduh bersama-sama meluluskan pemindahan saham syarikat milik Aznah Ahmad, 46, kepada Irmawaty Ahmad Rusdy, 33, yang juga pengarah syarikat, berjumlah 1,312,500 unit. Kelulusan itu dibuat melalui Resolusi Edaran Pengarah bertarikh 22 Disember 2008.

Defendan juga dituduh mengetahui pindahan saham itu dibuat tanpa kebenaran dan pengetahuan Aznah.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 132 (1) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 132 (3) (b) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara lima tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali.
Hakim Khairul Anuar Abdul Halim mengarahkan pasport kedua-dua tertuduh
ditahan dan membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang serta menetapkan Ahad ini bagi sebutan semula kes

No comments:

Post a Comment