Tuesday, May 18, 2010

Penyeludupan rokok makin serius

RASAH 18 Mei 2010 - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) perlu mempertingkatkan penguatkuasaan dan melipatgandakan usaha menangani masalah penyeludupan rokok haram di negara ini yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin (gambar) berkata, kegiatan itu dilaporkan meningkat sebanyak 37 peratus pada tahun lalu berbanding lima tahun lalu iaitu pada kadar 17 peratus.

''Peningkatan mendadak ini secara tidak langsung mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah RM2 bilion setiap tahun akibat duti eksais rokok tidak berbayar.

''Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan LKTN menambah bilangan anggota penguat kuasa sekali gus meningkatkan pemantauan dalam mengawal aktiviti haram ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Baja dan Racun Serangga Philip Morris Malaysia (PMM) kepada lembaga itu di sini hari ini.

Jelas Hamzah, langkah berkenaan juga selari dengan kuasa yang diberikan kerajaan kepada LKTN melalui penetapan Akta LKTF 2009.

''Saya juga mencadangkan agar pihak lembaga turut menjalankan kerjasama dengan pasukan penguatkuasaan lain seperti kastam dan polis bagi membendung masalah itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut menyeru semua syarikat pembuat rokok antarabangsa seperti Philip Morris dan British American Tobacco agar menjalankan kajian dalam mengolah kegunaan tembakau demi meningkatkan komoditi itu.

''Analisis yang dibuat oleh beberapa pengkaji antarabangsa mendapati tembakau boleh dijadikan salah satu bahan dalam bidang farmaseutikal.

''Justeru, saya minta syarikat terbabit membantu kerajaan membuat kajian bagi mempelbagaikan kegunaan tembakau, bukan sekadar untuk menghasilkan rokok sahaja.

''Jika ini menjadi kenyataan, perusahaan tembakau dapat diperluaskan di negara ini sekali gus meningkatkan pendapatan penanam tembakau tempatan," katanya.

No comments:

Post a Comment