Monday, May 17, 2010

Miliki, guna wang palsu dipenjara

KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Gara-gara memiliki dan menggunakan wang palsu untuk membeli dua bentuk kerongsang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu, seorang penjual air terpaksa meringkuk di penjara selama dua minggu selain didenda RM10,000.

Bagi kesalahan menggunakan wang palsu, Hakim Mahkamah Sesyen, S. M. Komathy Suppiah hari ini menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM10,000 atau penjara dua minggu terhadap Naemah Ramli, 51.

Wanita itu yang memakai baju kurung merah hati dan bertudung hitam juga dihukum penjara dua minggu bagi kesalahan memiliki 62 keping wang palsu RM50.

Komathy bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai tarikh tangkapan iaitu pada hari kejadian.

Naemah gagal membayar denda tersebut.

Dia dikenakan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah menggunakan sekeping wang palsu RM50 sebagai tulen untuk membeli kerongsang tersebut daripada jurujual, Norazmi Misti, 51.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di gerai No. 107, Bazar Ramadan, Lorong Tunku Abdul Rahman pada pukul 10.15 malam, 24 September 2008.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Dia juga mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki 62 keping wang palsu RM50 di Balai Polis Masjid India di sini pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

No comments:

Post a Comment