Friday, September 23, 2011

Dua pengarah syarikat dipenjara 12, 6 tahun

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Dua bekas pengarah sebuah syarikat elektronik masing-masing dihukum penjara 12 tahun dan enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM26 juta, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Jagjit Singh memutuskan demikian terhadap Gordon Toh Chun Toh, 59, dan Datuk Abul Hassan Mohammad Rashid, 68, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Beliau menetapkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Chun Toh manakala Abul Hassan dihukum penjara enam tahun. Chun Toh turut didenda RM1 juta atau penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dibenarkan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan alternatif, kedua-dua tertuduh sebagai Pengarah Multi-code Electronics Industries (Malaysia) Bhd. ketika kejadian didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang RM26,045,473.94 milik syarikat tersebut.
Wang terbabit didakwa berkait dalam satu penipuan berhubung pembelian 11.1 juta unit saham Multi-code Electronics dengan menyebabkan pengeluaran deposit tetap syarikat tersebut berjumlah RM17,646,168.74 dengan RM17,552,275.20 telah dipindahkan ke akaun Kenanga Investment Bank Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 23 dan 28 Mac 2007 di Suite 11.2B, Aras 11, Menara Pelangi, No. 2, Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bharu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Jagjit dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan telah gagal membuktikan wujudnya keraguan selain mendapati keterangan empat saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh adalah berbentuk penafian dan rekaan semata-mata.
Menurut beliau, elemen pecah amanah berjaya dibuktikan menerusi keterangan tiga saksi pendakwaan yang menyatakan transaksi wang berkenaan berlaku tanpa diketahui oleh semua ahli lembaga pengarah syarikat.
Jagjit menambah, Chun Toh yang merupakan warga Singapura adalah dalang utama kegiatan terbabit dan kedua-dua tertuduh didapati masih memegang jawatan sebagai pengarah Multi-code Electronics ketika kejadian berlaku.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Shanti Geoffrey, manakala Chun Toh diwakili peguam bela Joshua Kevin dan Abul Hassan diwakili oleh Ng Aik Guan.

No comments:

Post a Comment