Friday, September 24, 2010

Rasuah: 2 Anggota polis dipenjara, denda RM10,000

24/09/2010 3:28pm


KUALA LUMPUR 24 Sept. 2010 - Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah dalam dua kes berasingan, seorang daripadanya menerima suapan daripada seorang anggota polis lain.

Dalam kes pertama, Koperal Abdul Rahim Kiram, 47, dihukum penjara dua tahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu, selepas didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang anggota polis berpangkat lans koperal, lima tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Abdul Rahim gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Abdul Rahim yang bertugas di Bahagian Risikan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kelihatan tenang sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, seorang anggota polis berpangkat sarjan dihukum penjara setahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 daripada seorang lelaki empat tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarjan Hassim Ma’asah, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti keterangan tertuduh dan saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dalam kes ini,” katanya.

Hassim didakwa menerima suapan wang tunai RM300 daripada Muhammad Faizal Kamaluddin sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya, Osman Saifuddin Osman yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Restoran Putra, 101 Jalan Putra pada 2.30 petang, 10 Mei 2006. - Bernama

No comments:

Post a Comment