Wednesday, September 1, 2010

Melaka&Negeri Sembilan: Makan di tapak binaan

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/09/02
Lokasi ditutupi penghadang, terpencil yakinkan kegiatan mereka tidak dapat dikesan JAIM

MELAKA TENGAH: Segelintir kaki ponteng puasa terutama golongan remaja di bandaraya ini dikesan menjadikan tapak pembinaan di beberapa kawasan di Kota Laksamana, dekat sini, sebagai lokasi untuk ponteng puasa. Keadaan tapak pembinaan yang dikelilingi dan ditutupi penghadang, selain agak terpencil daripada pandangan orang ramai itu membuatkan golongan berkenaan berasakan perbuatan mereka tidak dapat dikesan terutama oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). JAIM sebelum ini memberi amaran, akan menjalankan gerakan mengesan orang Islam yang makan di khalayak ramai pada Ramadan ini. Operasi itu tidak hanya terhad kepada kepada kedai makan kecil dan warung, malah di semua tempat disyaki termasuk hotel di bandar raya ini.

Kebanyakan mereka yang terbabit dengan aktiviti ini dipercayai mengambil kesempatan membeli makanan di luar terutama di kedai bukan Islam, sebelum memasuki tapak pembinaan berkenaan kerana beranggapan kawasan itu tidak diserbu.

Tinjauan Berita Harian ke lokasi tapak pembinaan itu kira-kira jam 12 tengah hari, awal minggu ini, susulan aduan orang awam mendapati dakwaan berkenaan adalah benar dan berasas. Kebanyakan yang dilihat begitu seronok dan gembira kerana dapat makan tanpa diserbu pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Nordin Aman, 49, ketika ditemui berkata, ia tidak harus berlaku dan golongan terbabit yang makan dan merokok sesuka hati menunjukkan mereka tidak menghormati masyarakat Islam kawasan sekeliling.
Katanya, sikap mereka jelas mencemar kesucian Ramadan dan sekali gus boleh menjejaskan imej agama Islam.

“Tindakan golongan ini jelas melanggar arahan JAIM. Sebab itu, pada saya tindakan segera perlu diambil terutama daripada segi penguatkuasaan undang-undang bagi mengelak tingkah laku mereka terus berulang,” katanya.

Rahim Jantan, 36, berkata golongan belia mesti menjaga maruah diri dan tidak menjatuhkan maruah Islam daripada pandangan penganut agama lain.

Justeru katanya, JAIM patut mengenakan hukuman berat ke atas orang yang makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan tanpa sebab yang diharuskan syarak.

“Apa yang penting dalam amalan Islam ialah keikhlasan dan kejujuran diri sendiri dengan kepercayaan bahawa Allah melihat setiap perbuatan hambanya. Saya menasihatkan belia Islam menjaga maruah diri dan agama pada Ramadan dengan tidak melakukan perkara mungkar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, pihak penguat kuasa akan lebih kerap mengadakan rondaan terutama ke lokasi baru bagi mengesan mereka yang tidak berpuasa.

“Kita akan mengenakan tindakan tegas terhadap umat Islam yang tidak berpuasa. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua, boleh didenda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi.

Rahimin berkata, pihak berkuasa itu juga tidak akan menerima sebarang alasan jika mendapati ada umat Islam makan atau minum di khalayak ramai pada bulan puasa ini kerana peringatan mengenainya sudah diberikan

No comments:

Post a Comment