Tuesday, August 10, 2010

Timur: Kain putih, jeans dirampas

Oleh Nik Khazami Nik Aziz

2010/08/11
RANTAU PANJANG: Permintaan tinggi terhadap kain telekung setiap kali Ramadan dan Aidilfitri, dipercayai mendorong peniaga di negeri ini menghantar bekalan kain putih untuk dijahit di negara jiran.

Kegiatan itu dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi rampasan 47 gulung kain putih sepanjang kira-kira 3,000 meter ketika tekstil itu cuba diseludup untuk dijadikan kain telekung bersulam di negara jiran dekat Jeram Perdah, kelmarin. Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata rampasan kain putih itu dilakukan anggotanya ketika menjalankan rondaan di pangkalan haram Jitong dekat Jeram Perdah, kira-kira jam 8 pagi. Ketika meninjau pangkalan itu, anggota saya terserempak beberapa lelaki yang memunggah kain putih ke dalam bot, namun sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, mereka bergegas melarikan diri meninggal semua barangan yang sedang dipunggah mereka.

Hasilnya, kami merampas 47 gulung kain putih yang setiap satunya sepanjang kira-kira 60 meter dengan nilai RM28,000. Semua gulungan kain putih ini dipercayai hendak dihantar ke negara jiran dijahit sebelum diseludup kembali ke Malaysia, katanya di sini, semalam.

Rooslan berkata, selain rampasan kain putih yang cuba diseludup ke negara jiran itu, pihaknya merampas 360 helai seluar jeans tiruan jenama Levi's bernilai RM36,000 menerusi dua rampasan yang dilakukan pagi semalam.

Katanya, kira-kira jam 7.30 pagi, anggotanya yang menjalankan rondaan bermotosikal, terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan dari tebing Sungai Golok yang kemudiannya dilihat bergegas melarikan diri.
Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang ditinggalkan mereka, anggota saya menemui 200 helai seluar jeans jenama Levi's yang diseludup dari Thailand.

Kira-kira jam 9 pagi pula, anggota saya berhasil merampas 160 helai seluar jeans tiruan jenama sama di pangkalan haram Haji Ghani. Semua seluar jeans ini mempunyai permintaan tinggi di kalangan anak muda khususnya menjelang musim perayaan ini dianggarkan bernilai Rm100 sehelai, katanya.

Roslan berkata, semua barangan yang dirampas itu diserahkan kepada Bahagian Pencegah Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) Kelantan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut

No comments:

Post a Comment