Thursday, August 19, 2010

Pemalsuan kad kredit RM23 juta tumpas, 3 ditahan

KUALA LUMPUR 19 Ogos 2010 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang bernilai RM23 juta setelah menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri di sebuah rumah di Kota Kemuning, Seksyen 33 Shah Alam dekat sini Isnin lalu.

Ketiga-tiga suspek ditahan pihaknya selepas berjaya menahan dua lelaki di sebuah hotel di ibu negara pada bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila pihak pengurusan hotel menerima tempahan tiga bilik daripada seorang lelaki bernilai RM860 yang dibayar menggunakan kad kredit American Express (Amex) pada pukul 8 pagi 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, dua hari kemudian, pihak hotel menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mempersoalkan tempahan bilik yang dibuat menggunakan nombor kad kreditnya walaupun dia tidak pernah membuat tempahan.

Curiga dengan insiden itu, pihak pengurusan hotel membuat laporan polis kira-kira pukul 2 petang pada keesokan hari.

"Namun, pada 24 Julai lalu, pihak pengurusan hotel ada menghubungi polis dan memaklumkan lelaki terbabit yang pernah menggunakan kad kredit palsu itu turut membuat tiga tempahan bilik di hotel berkenaan dengan menggunakan nama dan passport dari Singapura.

"Kira-kira pukul 4 petang, polis pergi ke hotel berkenaan dan berjaya menahan dua lelaki yang berada di bilik berasingan manakala kita menemui sebuah komputer bimbit pada bilik ketiga yang tiada penghuni.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bermula 28 Julai lalu dan kini dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambah Muhammad Sabtu, kedua-dua suspek berusia 38 dan 40 tahun dan salah seorang merupakan peniaga sarang burung.

Bertindak atas maklumat dan risikan, katanya, polis menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki di sebuah rumah di Seksyen 33, Shah Alam.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek berusia antara 31 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan selain salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes pemalsuan kad kredit serta baru sahaja dibebaskan dari sebuah penjara di Macau atas kesalahan sama.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 2,270 keping kad kredit palsu, 17 kad kredit palsu yang telah siap, lima keping kad kredit yang dipercayai palsu, sembilan pasport antarabangsa Malaysia, satu pasport negara Hong Kong dan China dipercayai palsu.

"Turut dirampas, mesin pelekat nombor, mesin pencetak dan beberapa unit komputer riba serta dokumen bank selain dua buah kereta jenis Mazda dan Toyota," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, hasil siasatan mendapati, suspek menggunakan kad kredit palsu itu untuk membeli barangan berjenama selain untuk tujuan penginapan di hotel-hotel mewah.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420, 467, 474 dan 472 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sabtu berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi rakan suspek iaitu individu pertama yang ditahan pihaknya di sebuah hotel bulan lalu kerana dipercayai merupakan ahli sindiket tersebut.

Beliau berkata, suspek yang merupakan peniaga sarang burung telah dibebaskan dengan jaminan pihak polis pada 30 Julai lalu dan dipercayai telah bersembunyi.

No comments:

Post a Comment