Tuesday, August 31, 2010

Pengawal keselamatan dipenjara, denda RM9,000

SHAH ALAM 30 Ogos 2010 - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara sehari dan denda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM4,700 bagi mendorong seorang pegawai kastam mengeluarkan radiator yang diimport dari India, enam tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut memerintahkan S. D. Vetrivellu, 48, dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Vetrivellu mengaku menerima RM4,700 di No. 89, Tingkat 1, Jalan 5/10B, Spring Crest Industrial Park, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 5 petang, 24 September 2004.

Wang itu sebagai dorongan agar seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Klang melakukan suatu perbuatan rasuah iaitu melepaskan empat unit radiator penyejuk air yang diimport dari India.

Dia didakwa mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertindak sebagai orang tengah telah diminta oleh seorang peniaga, M. Veerapan untuk mengeluarkan empat radiator penyejuk air dari Pelabuhan klang.

Tertuduh kemudian meminta seorang pengarah urusan sebuah syarikat, M. Mani Segar untuk berurusan dengan Pelabuhan Klang bagi membawa keluar barangan tersebut.

Selepas dua kali berurusan, Mani Segar berjaya membawa keluar radiator penyejuk air tersebut tanpa dikenakan bayaran cukai oleh pihak kastam. Dia bagi pihak syarikatnya mengenakan bayaran RM1,551 kepada tertuduh sebagai upah.

Meskipun barangan tersebut telah berjaya dibawa keluar, tertuduh kemudian meminta RM4,700 daripada Veerapan kononnya sebagai bayaran kepada pihak kastam.

Veerapan yang bersetuju dengan permintaan itu bagaimanapun membuat laporan kepada SPRM dan tertuduh telah ditahan semasa wang itu diserahkan kepadanya pada hari kejadian.

No comments:

Post a Comment