Friday, January 15, 2010

Penjual barangan curi berleluasa di Hang Tuah Mall

SEORANG lelaki mendekati seorang pemandu di Hang Tuah Mall, Melaka semalam dipercayai untuk menjual seunit telefon bimbit.

--------------------------------------------------------------------------------



MELAKA 15 Jan 2010. - Sebut sahaja nama Hang Tuah Mall di sini, orang ramai sudah mula membayangkan pelbagai jenis produk yang dijual di kali lima jalan raya sepanjang 1.2 kilometer itu.

Selain menjadi lokasi rasmi perarakan sambutan beberapa hari kebesaran negeri, Hang Tuah Mall turut menjadi tumpuan pada waktu malam kerana kawasan sekitarnya dihiasi lampu berwarna-warni.

Kewujudan institusi perbankan, Plaza Usahawan dan deretan kedai makan Melayu serta restoran India Muslim membuatkan Hang Tuah Mall menjadi pilihan masyarakat tempatan mahupun pelancong asing.

Namun, di sebalik populariti indah itu, nama Hang Tuah Mall kini dicemari aktiviti tidak bermoral iaitu tumpuan beberapa individu yang dipercayai menjual barangan curi atau palsu.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi yang terletak di antara dua buah bank di jalan tersebut hari ini mendapati, terdapat seorang lelaki yang akan menghampiri setiap pemandu kenderaan yang meletakkan kenderaan untuk berurusan di bank di situ.

Situasinya sama seperti yang pernah kita lihat di sekitar Hentian Puduraya, Kuala Lumpur. Lelaki terbabit akan menghampiri pemandu kenderaan yang masih di dalam kereta sambil menunjukkan sesuatu yang disorokkan di bawah baju mereka.

Tinjauan mendapati, lelaki berusia lewat 30-an itu bergerak aktif pada waktu tengah hari ketika orang ramai mula berurusan di bank atau menikmati makanan di beberapa kedai makan di situ.

Cubaan wartawan Utusan Malaysia 'menjadi mangsa' lelaki dipercayai warganegara asing itu berhasil apabila dihampiri lelaki tersebut.

Selepas menunjukkan satu unit kamera digital berserta beg, lelaki tersebut mula menawarkan harga.

"Kalau di luar harganya ribuan ringgit. Berapa kamu mahu? Kalau mahu, tunggu saya di lorong sana, tapi kena cepat sebelum dilihat orang," katanya.

Dia yang pada mulanya meletakkan harga RM1,000, kemudian bersetuju menurunkan harga pada RM300 setelah ditawar.

"Betul. Ini kamera memang seperti yang digunakan jurugambar profesional," katanya sambil menunjukkan telefon bimbit berjenama di bawah bajunya.

Selepas tidak dipedulikan, lelaki tadi dilihat beredar sambil mendekati beberapa lagi pemandu kenderaan yang lain di situ.

Salah seorang pekerja premis makanan di situ yang enggan dikenali berkata, warga asing terbabit dikesan bergerak aktif di kawasan itu sejak setahun lalu.

"Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan rondaan di kawasan ini terutamanya pada waktu makan tengah hari.

"Tindakan mereka telah mencemarkan nama Hang Tuah Mall selain saya sendiri berasa tidak selesa dan terancam dengan perbuatan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, selain menjual barangan dipercayai curi, individu tersebut juga menjual barangan palsu seperti telefon bimbit tanpa disedari pembeli kerana tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu.

No comments:

Post a Comment