Sunday, January 24, 2010

Seludup pasir: Khairy gesa hentikan sindrom 'nafi'

PETALING JAYA 24 Jan. - Pihak berkuasa digesa menghentikan sindrom penafian dalam isu penyeludupan pasir ke luar negara kerana ia boleh mengelirukan rakyat yang menerima pelbagai maklumat.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, pihak berkuasa terlibat perlu meneliti setiap laporan penyeludupan yang diterima kerana ia merupakan satu kesalahan yang serius.

Justeru, katanya, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu mengesahkan kebenaran laporan berhubung penyeludupan pasir ke luar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

''Kita sekarang ini mendengar kenyataan yang bercanggah, ada kata penjualan terkawal, ada kata tidak terkawal.

''Saya harap kastam tidak berada dalam sindrom penafian kerana walaupun itu laporan rasmi yang diterima Ketua Pengarah, kadang kala ia tidak mencerminkan apa yang berlaku di bawah,'' katanya kepada pemberita selepas mengetuai Program Pemuda UMNO Prihatin di sini hari ini.

Khairy diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang menggesa kerajaan mengharamkan penjualan semua jenis pasir ke luar negara bagi membanteras sindiket penyeludupan sumber asli itu.

Semalam, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, perdagangan pasir hanya membabitkan sekumpulan kecil peniaga tetapi menimbulkan banyak masalah

Tambah Khairy, pihak berkuasa terlibat perlu mengambil tindakan tegas dan meneliti setiap laporan berhubung penjualan atau penyeludupan pasir bagi memastikan ia tidak berlaku.

No comments:

Post a Comment