Sunday, January 24, 2010

Skuter ubah suai seludup 30 liter minyak

Inspektor Ezry Rafflis Saharuddin menunjukkan saluran minyak skuter yang di ubahsuai untuk menyeludup minyak yang diisi di stesen minyak Rantau Panjang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



RANTAU PANJANG 24 Jan. - Selepas taktik menyeludup petrol dan diesel menggunakan tangki tambahan kereta dan pacuan empat roda berjaya dihidu pihak berkuasa, kini penyeludup mula mengubah modus operandi mereka.

Terbaru para penyeludup menggunakan pula motosikal yang telah diubah suai dengan memasang tangki tambahan yang boleh memuatkan sehingga 30 liter petrol.

Pegawai Pemerintah Batalion 8, Pasukan Gerakan Am, Supritenden Rooslan Radzi memberitahu, dalam operasi tersebut pihaknya telah menahan enam lelaki warga Thailand berumur 20 hingga 30 tahun bersama motosikal masing-masing, semalam.

Katanya, berdasarkan intipan anggotanya, didapati motosikal tersebut digunakan untuk kegiatan menyeludup petrol.

"Kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, kita menahan motosikal tersebut di Kompleks Imigresen Kastam (CIQ) dekat sini setelah mendapat maklumat awam.

"Berdasarkan pemeriksaan, kita mendapati salah sebuah daripada motosikal berkenaan, iaitu jenis skuter telah dikesan membawa 30 liter petrol melalui tangki tambahan sedangkan kapasiti asalnya sekitar lima liter sahaja," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rooslan berkata, skuter tersebut telah diubahsuai dengan tempat meletak topi keledar digantikan dengan tangki minyak bagi membolehkan lebih banyak petrol diisi untuk tujuan penyeludupan.

Jelas beliau, pihaknya juga telah mengesan lima buah motosikal yang diubahsuai untuk tujuan penyeludupan petrol.

Katanya, tangki minyak motosikal berkenaan didapati mampu memuatkan antara 10 hingga 15 liter petrol.

"Kebanyakan mereka keluar masuk ke negara ini lebih lima kali sehari untuk membeli petrol bagi menyeludup bahan bakar itu.

"Melalui siasatan yang dijalankan, kita percaya pemilik motosikal ini memperoleh keuntungan sebanyak 50 hingga 70 sen bagi setiap liter petrol yang dijual," ujarnya.

Dalam operasi yang sama, Rooslan berkata, pihaknya juga berjaya menahan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk menyeludup bahan api tersebut.

Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan petrol adalah sebanyak 190 liter yang dianggarkan bernilai RM342.

''Kes ini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut,'' katanya.

No comments:

Post a Comment