Thursday, January 28, 2010

Akta Jualan Langsung dipinda tangani skim piramid (29/1/10)

PETALING JAYA: Kerajaan akan meminda Akta Jualan Langsung 1993 bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan skim piramid, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pindaan itu akan membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat tidak berlesen yang menjalankan skim berkenaan.

"Kita sedang memperkemas akta ini kerana ia kurang jelas dari segi definisi skim piramid, dan tindakan atau hukuman ke atas syarikat yang tidak berdaftar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat baharu Amway (Malaysia) Holdings Bhd di sini,hari ini.



Pindaan akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada persidangan Mac ini.

Ismail Sabri berkata, melalui pindaan itu, kelulusan lesen baru masih dikeluarkan untuk syarikat yang ingin menceburi bidang jualan langsung, namun tempoh lesen hanya untuk setahun berbanding lima tahun sebelum ini.

"Sebanyak 32 lesen baharu untuk tempoh setahun telah dikeluarkan pada 2009, menjadikan keseluruhan jumlah lesen yang dikeluarkan sehingga kini adalah sebanyak 491 lesen.

"Kelulusan lesen perlu dilakukan dengan telus dengan mengkaji secara teliti pelan perniagaan terlebih dahulu. Kita tidak akan beri lesen kepada pelan yang meragukan," katanya.

Ismail Sabri berkata, terdapat banyak kes penipuan dalam bidang perniagaan jualan langsung dilaporkan terutama yang membabitkan pengambilan deposit secara haram.

Katanya, sebanyak tiga syarikat ditutup tahun lalu.

Mengenai garis panduan baru kepada pasar raya besar, Ismail berkata perkara itu telah mendapat persetujuan daripada Kabinet dan akan diumumkan kelak.

Mengenai kesan larangan menjual minyak tidak melebihi 20 liter kepada kenderaan asing dalam kawasan 50 kilometer dari pintu sempadan negara yang dilaksanakan mulai 16 Disember lalu, Ismail Sabri berkata penguatkuasaannya mula menunjukkan kesan penurunan dari segi jualan minyak.

Beliau berkata, penjualan petrol dan diesel di stesen minyak sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Perlis telah turun sebanyak 10 hingga 20 peratus sejak penguatkuasaan larangan tersebut dilakukan.

"Saya berada di sempadan Perlis minggu lalu dan berdasarkan maklum balas stesen minyak di sana, jualan minyak didapati turun. Ini tidak termasuk penjualan minyak di sempadan Kedah dan Kelantan.

"Penurunan jualan minyak ini menunjukkan betapa banyak minyak yang telah dijual selama ini kepada kenderaan asing," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkenal mekanisme baharu dalam sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat pada Mei ini.

"Antara mekanisme itu ialah mewajibkan penggunaan MyKad untuk membeli minyak bagi membezakan warganegara Malaysia dan bukan warganegara, selain mengehadkan pemberian subsidi untuk warganegara saja," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan tidak akan berlaku penyalahgunaan MyKad untuk pembelian minyak. - Bernama

No comments:

Post a Comment