Wednesday, January 13, 2010

Taktik penyeludup minyak subsidi terbongkar

Oleh Zuliaty Zulkiffli
Kenderaan ada 7 tangki cuba bawa keluar petrol bersubsidi

BUKIT KAYU HITAM: Sindiket penyeludupan minyak subsidi yang sebelum ini menggunakan kenderaan didaftarkan di Thailand kini dikesan mengubah taktik menggunakan kenderaan Malaysia bagi melepasi pemeriksaan di pintu sempadan negara.

Tindakan itu dipercayai berikutan pihak berkuasa mengetatkan pemeriksaan membabitkan kenderaan Thailand, terutama sejak berkuat kuasanya peraturan penjualan minyak 20 liter membabitkan kenderaan asing baru-baru ini.



Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah, Mohd Noor Idris, berkata taktik penyeludup didalangi warga tempatan itu terbongkar apabila anggotanya menahan sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux bernombor pendaftaran tempatan yang dikesan membawa 1,300 liter petrol, termasuk tujuh tangki tambahan.

Katanya, kenderaan itu yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu Hitam, di sini ketika mahu melepasi pintu sempadan pada kira-kira jam 7.25 malam kelmarin.

"Pemeriksaan lanjut di belakang kenderaan itu menemui sembilan tong berisi minyak petrol yang dianggarkan sebanyak 450 liter.

"Hasil pemeriksaan kemudian menemui tujuh tangki tambahan yang diubah suai di bawah kenderaan terbabit mengandungi kira-kira 850 liter bahan api itu. Semua minyak yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM2,340.

"Kita tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan kenderaan Malaysia bagi mengaburi mata penguat kuasa dan menganggap kita tidak melakukan pemeriksaan ketat terhadap kenderaan tempatan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Noor berkata, lelaki itu dipercayai mahu menjual minyak petrol bersubsidi itu yang dibeli dari stesen minyak di Pulau Pinang ke Thailand dengan harga RM4.70 seliter.

Beliau berkata, dalam kes itu UPP turut menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish yang membawa 3,000 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak bernilai RM30,000 yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Katanya, UPP turut menahan dua lelaki, masing-masing warga Thailand berusia 24 yang memandu kenderaan itu dan rakannya rakyat tempatan berusia 31 tahun.

Siasatan mendapati kedua-dua kes itu mempunyai kaitan kerana mereka berkonvoi ketika memasuki Thailand.

"Semua DVD bernilai kira-kira RM30,000 yang dimuatkan dalam tiga kotak dan ditutup dengan plastik hitam di tempat duduk belakang kenderaan berkenaan mahu diseludup ke Thailand.

"Siasatan mendapati DVD itu dibawa dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk dipasarkan ke Thailand," katanya.

No comments:

Post a Comment