Thursday, January 14, 2010

Pencarum KWSP diingat tak terjebak sindiket

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diingatkan supaya tidak menggunakan khidmat pihak ketiga untuk membuat pengeluaran bagi mengelakkan daripada terjebak dalam sindiket penipuan pengeluaran wang caruman mereka.

Sebaliknya, mereka yang ingin membuat pengeluaran hendaklah berurusan secara terus dengan pegawai KWSP yang tidak mengenakan sebarang caj bagi perkhidmatan yang diberikan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata pihaknya amat komited dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pengeluaran kerana ia hanya akan mengurangkan simpanan persaraan pencarum serta bertentangan dengan objektif penubuhan KWSP.



Beliau memberi amaran kepada pencarum dan juga individu lain supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti penipuan pengeluaran KWSP sambil menambah bahawa KWSP mempunyai proses dan sistem yang berupaya untuk mengesan sebarang penipuan atau cubaan menipu pengeluaran.

"Proses ini bukan saja dapat mengesan lebih awal cubaan menipu, malah memberikan panduan kepada pegawai KWSP untuk mengenalpasti kes penipuan dengan hanya menyemak borang permohonan dan dokumen sokongan dikemukakan pencarum," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, mengikut Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau meminta pencarum KWSP supaya melaporkan kegiatan penipuan pengeluaran dengan menghubungi Talian Hotline Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. - Bernama

No comments:

Post a Comment