Thursday, January 28, 2010

Pendedahan mengejut PPB

KUALA LUMPUR 28 Jan 2010 – Krisis dalaman Petra Perdana Bhd. (PPB) yang berpunca daripada tidak berpuas hati berhubung pelupusan saham Petra Energy Bhd. (PEB) kini semakin ‘menarik’ berikutan beberapa pendedahan yang mengejutkan.

Pendedahan itu merupakan hasil daripada keputusan awal yang diperoleh konsultan luar dan bebas yang dilantik 13 Januari lalu untuk mengurus dan mengkaji operasi PPB.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Ibrahim Petra Tengku Indra Petra berkata, ia membabitkan persoalan mengenai akauntabiliti Shamsul Saad sebagai Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan.

Menurut beliau, sembilan persoalan itu perlu dijawab oleh Shamsul kepada para pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada 4 Februari ini.

Sembilan persoalan itu ialah:


Mengapa terus mempersoalkan pelupusan 5.38 peratus saham sedangkan PPB telah membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia dan awam berhubung kerugian RM500,000 dan saham tersebut juga bukan saham mandat.


Mengapa mempertikaikan isu kehilangan anak syarikat dan peningkatan persaingan selepas pelupusan PEB yang dipersetujui ahli Lembaga Pengarah selesai.


Mengapa menimbulkan cara pelupusan PEB sedangkan beliau sepatutnya berjumpa dengan Tengku Ibrahim untuk membincang atau menasihatkan tentang pelupusan itu.


Shamsul perlu menerangkan mengapa syarikat itu kehilangan kontrak bernilai RM400 juta daripada Petronas disebabkan kelewatan menghantar tender meskipun diberi tambahan empat hari.


Mengapa PPB masih membayar komisen dan yuran pembrokeran kepada broker dan agen bagi penyewaan kapal marin, pelupusan dan pembelian kapal apabila syarikat boleh berbuat demikian secara terus.


Kenapa mendakwa hanya seorang broker dilantik secara eksklusif pada mesyuarat Lembaga Pengarah sedangkan pelantikan broker dibuat lebih daripada satu.


Menjelaskan mengenai pelantikan broker dari Singapura.


Jelaskan mengenai pelantikan agen yang hanya mempunyai modal berbayar AS$1 tetapi berhutang sebanyak RM28 juta kepada anak syarikat PPB, yang di bawah pengawas seliaan Intra Oil Services Bhd. dan pembayaran komisen sehingga 16 peratus kepadanya dan 2.5 peratus kepada agen yang lain.


Berhubung jumlah hutang sebanyak RM28 juta, mengapa bil syarikat perlu dibuat melalui agen dan tidak secara terus kepada pelanggan.

Tengku Ibrahim berkata, pendedahan itu hanya sebahagian sahaja dan laporan penuh dijangka diperoleh pada akhir minggu ini.

Beliau berkata, sebab itulah syarikat mengambil langkah menggantung kerja 11 kakitangan pengurusan kanan dan utama PPB.

Pada sidang akhbar itu, Tengku Ibrahim menambah, Lembaga Pengarah PPB turut mencadangkan supaya pelabur-pelabur institusi PPB melantik wakil-wakil mereka dalam lembaga syarikat itu.

Tambahnya, PPB juga akan mencadangkan baki saham 29.59 peratus kepentingan PEB ditawarkan kepada para pemegang sahamnya pada EGM nanti.

Beliau berkata, untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang semakin terdesak, PPB berhasrat untuk melupuskan enam kapal-kapal lama yang dijangka menjana AS$4.6 juta (RM15.6 juta) setiap satu.

Syarikat turut mengenal pasti penjimatan kos sebanyak RM6 juta hingga RM8 juta setahun, termasuk kira-kira RM3 juta bagi pembayaran gaji tahunan kepada pengurusan kanan termasuk Shamsul, Datuk Kho Poh Eng dan Koh Pho Wat, ujarnya.

No comments:

Post a Comment