Sunday, January 17, 2010

4 kapal pindah minyak haram ditahan (18/1/10)

Oleh Mohd Zin Ali
bhnews@bharian.com.my
JOHOR BAHRU: Sebanyak empat kapal yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan dalam dua operasi berasingan di perairan Pengerang, Kota Tinggi dan Tanjung Piai, Pontian kelmarin.

Ketua APMM Wilayah Selatan, Datuk Che Hassan Jusoh, berkata dalam operasi pertama, kapal ronda KM Tegas diketuai Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak bersama 33 anggota mengesan dua kapal yang dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 3.5 batu nautika Tenggara Tanjung Kapal, perairan Pengerang, Kota Tinggi kira-kira jam 11.45 pagi.

Katanya, pihaknya yang sedang melakukan Operasi Perkasa Selatan mendapati kedua-dua kapal iaitu MT Rimba dan MT Sea Goddess itu saling berhimpit antara satu sama lain dipercayai sedang melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran di kawasan perairan berkenaan.



Belia berkata, pemeriksaan ke atas MT Rimba yang berdaftar Korea itu mendapati ia sudah memindahkan 30,000 liter minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) ke MT Sea Goddess yang didaftarkan di Tarawa, Kiribati.

“Siasatan terhadap kapten kapal MT Rimba mendapati mereka mengambil minyak dari negara jiran dan bergerak awal pagi semalam (kelmarin) untuk dihantar ke MT Sea Goddess.

“Kapal MT Sea Goddess dijadikan sebagai kapal pembekal atau platform bagi memenuhi keperluan kapal-kapal di sekitar perairan Pengerang dengan mereka ini didalangi oleh ejen yang beroperasi di darat," katanya di sini, semalam.

Selain itu, Che Hassan berkata, kapal ronda KM Ramunia yang diketuai Lt Mohd Fahimi Omar bersama 26 anggota turut menahan dua kapal iaitu MT Millennium 1 dan MT Onsys Leo dalam Operasi Satria Selatan di perairan Tanjung Piai, Pontian, tengah hari kelmarin.

Katanya, pihaknya mendapati MT Millennium 1 yang berdaftar di Tarawa, Kiribati dan MT Onsys Leo yang berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor itu dalam keadaan mencurigakan disyaki melakukan kesalahan sama di kedudukan 4.4 batu nautika Tenggara Tanjung Piai, Pontian, kira-kira jam 12 tengah hari.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kapal MT Millennium 1 mendapati kapal berkenaan mempunyai 40,000 liter minyak jenis MFO di dalamnya dan sudah memindahkan 20,000 liter MFO tanpa mendapat kebenaran ke kapal MT Onsys Leo,” katanya.

No comments:

Post a Comment