Wednesday, January 13, 2010

Empat ditahan kes skim pelaburan ternak cacing

Oleh Azahar Hashim
bhnews@bharian.com.my
Polis cari pasangan suami isteri bantu siasatan

KULIM: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes skim pelaburan penternakan cacing di sini, membabitkan 3,000 pelabur yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM30 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kedah, Superintendan Rossne Abd Hamid, berkata dua daripada mereka ditahan di sini, manakala dua lagi di Jitra pada petang Isnin lalu.



Katanya, tangkapan pertama dibuat di Jitra apabila polis menahan dua lelaki berusia 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skim terbabit dan hasil soal siasat, polis menahan dua lagi lelaki di sini.

"Dua lelaki yang ditahan di Kulim dipercayai pengarah syarikat terbabit yang menjalankan kutipan wang daripada pelabur.

"Polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang juga ahli lembaga pengarah syarikat terbabit, terutama suaminya yang dikenali sebagai Abdul Razak Ahmad, 46, dipercayai perancang utama skim itu" katanya, semalam.

Rossne berkata, sehingga kini polis menerima laporan daripada 176 pelabur di Kulim yang membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta, manakala 62 lagi laporan diterima di beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau juga menasihatkan mereka yang mengesyaki ditipu skim itu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Menurutnya, modus operandi syarikat itu dengan mengadakan kursus mengenai penternakan cacing dan peserta yang berminat diminta menyertai beberapa pakej dengan bayaran tertentu dan menjanjikan pulangan bulanan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Rawi Abd Ghani 04-490622 atau Inspektor Tarmizi Mohd Zaid 013-4426314.

No comments:

Post a Comment