Thursday, January 28, 2010

Rugi berjuta ringgit akibat terpedaya tawaran jam Rolex

R. Prakash (dua kanan) dan M.Shankar Ganesh (kanan) menunjukkan skim pelaburan yang menawarkan imbuhan mewah seperti jam Rolex, cincin berlian dan gelang tangan di pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 28 Jan 2010 - Seorang ahli perniagaan tempatan yang mempunyai pengaruh kuat dalam politik dipercayai mendalangi kegiatan skim cepat kaya yang menjadikan golongan berada dan profesional sebagai sasaran.

Skim pelaburan kasino yang berpusat di luar negara itu menawarkan pulangan 200 hingga 500 peratus bagi setiap pelaburan kepada pelaburnya dan berjaya menipu jutaan ringgit milik mangsa terlibat.

Salah seorang mangsa, R. Prakash, 46, berkata, dia kerugian hampir RM4.9 juta oleh skim pelaburan yang menawarkan imbuhan mewah seperti jam Rolex, cincin berlian dan gelang tangan untuk memancing pelabur.

Selain ditawarkan barang mewah itu katanya, dia juga diberikan perjalanan percuma ke Macau, ditempatkan di hotel mewah selain mengunjungi beberapa kasino di sana dan dilayan seperti VIP sejak menyertai skim berkenaan pada penghujung 2008.

Keistimewaan yang diterima itu, katanya, menyebabkan pelabur berasa yakin dengan skim tersebut walaupun semakan dengan Bank Negara mendapati syarikat berkenaan yang dipercayai beroperasi di Kuala Lumpur tidak berdaftar.

''Saya telah 'dipancing' menggunakan jam tangan jenama Rolex, cincin berlian berharga RM20,000 dan gelang tangan emas selepas membuat pelaburan pertama berjumlah RM4,800. Selepas menerima pulangan dividen antara 200 hingga 500 peratus, saya menambah jumlah pelaburan sehingga mencecah RM4.9 juta melalui penjualan harta benda yang saya miliki.

''Saya harap akan mendapat pulangan lebih lumayan, tetapi segalanya musnah begitu sahaja apabila pemberian dividen dihentikan pada Oktober lalu," katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Jalan Masjid Negeri di sini hari ini.

Menurut Prakash, skim itu kemudiannya dipercayai telah diambil alih oleh lelaki rakyat Indonesia yang kemudiannya memberhentikan pemberian dividen kepada pelabur.

Seorang lagi mangsa, peniaga, M. Shankar Ganesh, 34, berkata, dia kerugian kira-kira RM1.4 juta akibat ditipu skim tersebut.

Katanya, sejak menyertainya pada Disember 2008, dia telah diterbangkan ke Macau sebanyak tujuh kali dan turut dihadiahkan barangan mewah seperti jam tangan Rolex, cincin berlian berharga RM20,000 dan gelang tangan emas sejurus melabur dalam skala kecil.

''Kami dipancing menggunakan barangan mewah dan tidak menyangka sama sekali ia hanya mimpi indah untuk seketika kerana mereka merancang sesuatu yang lebih besar," katanya.

Tambahnya, mereka difahamkan seorang ahli perniagaan tempatan yang berpengaruh kuat dalam bidang politik dan berpusat di Kuala Lumpur, mendalangi skim berkenaan tetapi mereka tidak tahu identitinya.

''Setakat ini hampir 100 laporan polis sudah dibuat di seluruh negara terhadap skim ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini bagi mengelak lebih ramai golongan seperti kami menjadi mangsa skim cepat kaya dalam talian itu," katanya.

Sementara itu, Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris menggesa kerajaan menubuhkan unit khas untuk menangani kes skim cepat kaya dalam talian secara khusus bagi mengelak lebih ramai rakyat menjadi mangsa.

Beliau berkata, unit khas itu perlu bekerjasama dengan Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

No comments:

Post a Comment