Thursday, January 21, 2010

Kastam rampas mercun, bunga api RM2.9j

Roslan Yusof (tengah) dan Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Chik Omar Chik Lim menunjukan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas Kastam Selangor di sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Jati Kiri Baru 8, Kampung Perepat, Kapar, Klang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KLANG 21 Jan. - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM2.9 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah gudang di Jalan Jati Kiri, Kampung Perepat, Kapar di sini hari ini.

Serbuan pukul 12 tengah hari itu dibuat hasil maklumat orang ramai mengenai kegiatan penyeludupan barangan itu yang dikesan menjelang sambutan Tahun Baru Cina, tidak lama lagi.

Menurut Pengarah KDRM negeri, Datuk Roslan Yusof, hasil pemeriksaan ke atas gudang tidak bernama itu, ditemui 4,200 kotak mengandungi 34 jenis mercun dan bunga api yang dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua barang rampasan ini dipercayai datang dari negara China untuk dijual sempena Tahun Baru Cina. Kita anggarkan nilai mercun dan bunga api itu sebanyak RM1.8 juta manakala cukai importnya RM1.1 juta.

"Kita juga sedang mengenal pasti pemilik gudang berkenaan termasuk menyoal siasat suspek yang berkaitan dengan kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika serbuan, tiada sesiapa berada dalam gudang berkenaan.

Tambah Roslan, pengimportan mercun dan bunga api merupakan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 kecuali dengan lesen yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya pula, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda maksimum 40 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Roslan juga menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian 1-800-88-8855 atau 03-31792321.

Malah, pemberi maklumat juga turut diberi jaminan identiti mereka dirahsiakan termasuk ganjaran wang tunai bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes.

No comments:

Post a Comment