Tuesday, January 19, 2010

Awas ejen skim cepat kaya

Oleh ISMAIL MAHMUD
utusansabah@utusan.com.my

TENOM 19 Jan. – Penduduk di luar bandar diingatkan supaya tidak melabur dalam skim cepat kaya yang beroperasi dengan menggunakan nama sebuah persatuan.

Pegawai Khas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Jamawi Jaafar berkata, persatuan yang masih bergerak aktif itu kini menjadikan penduduk di kawasan pedalaman sebagai sasaran utama.

“Orang ramai khasnya di luar bandar jangan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu mereka yang mengendalikan skim ini dengan tawaran pelbagai insentif lumayan.

“Difahamkan persatuan ini tidak lagi beroperasi di kawasan bandar kerana aktivitinya sudah berjaya di kesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, sesiapa yang ingin menyertai skim itu dikenakan yuran RM110 dan diberi sijil yang disahkan layak menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 dari sebuah bank tempatan.

Peserta hanya perlu membawa sijil tersebut ke bank berkenaan bagi membuat pinjaman tetapi sebenarnya pihak bank terbabit tidak pernah meluluskan prosedur sedemikian.

Beliau yakin, insentif yang ditawarkan itu berunsur penipuan kerana skim tersebut sebelum ini tidak pernah dimaklum atau diiklankan dalam media cetak atau elektronik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom itu mengakui pernah berhubung sendiri dengan individu utama yang menjalankan skim tersebut untuk penjelasan tetapi tidak dilayani.

“Sebaliknya individu tersebut yang merupakan pegawai persatuan itu terus berang dan enggan melayani pertanyaan saya. Saya tidak faham kenapa dia berbuat demikian,” katanya.

Jelasnya, pegawai berkenaan tidak perlu berbuat demikian jika tidak bersalah kerana semua orang khususnya bakal pelanggan mempunyai hak untuk mengetahui tentang skim itu.

Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO tidak mahu kes skim cepat kaya atas nama Anggun Bestari yang pernah menipu ramai orang di sini pada 2007 berulang.

“Malangnya Anggun Bestari sudah lenyap, wang para pelabur pun hilang. Jadi kita tidak mahu pengalaman lalu berulang ibarat pisang berbuah dua kali,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Supritendan Polis Syed Lot Syed Abdul Rahman ketika dihubungi, mengesahkan sedang menyiasat perkara itu.

Menurut beliau, pihaknya sudah lama menghidup aktiviti persatuan tersebut dan ketika ini masih menjalankan intipan dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati.

No comments:

Post a Comment