Wednesday, January 20, 2010

Sindiket 'bersih wang haram' tumpas

KLUANG 20 Jan 2010 - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan membabitkan pembersihan wang haram dengan tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita di Batu Pahat baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, mereka yang berusia 24 hingga 30 tahun itu diberkas berasingan berikutan aduan seorang lelaki yang mendakwa menjadi mangsa dan kerugian RM25,500 pada Rabu lalu.

Menurutnya, ahli sindiket itu kini ditahan reman hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Hasil tangkapan itu, kita menemui wang tunai berjumlah RM4,000, slip pengeluaran, kad ATM dan tiga telefon bimbit daripada mereka," katanya di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan modus operandi sindiket itu, mereka menyamar sebagai polis Bukit Aman yang akan menghubungi mangsa dan mendakwa boleh membersihkan wang di Hong Kong dan bank di negara ini walaupun mangsa tidak mempunyai sebarang akaun di negara tersebut.

Beliau berkata, pembersihan wang itu bagi mengelakkan semua akaun mangsa yang kini dalam siasatan dibekukan pihak berkuasa negara berkenaan.

"Mangsa kemudian dinasihatkan agar mengeluarkan semua wangnya dan memasukkannya ke dalam akaun seorang pegawai 'Bank Negara Malaysia' bagi tujuan pembersihan sehingga mendapat keputusan mahkamah," katanya.

Menurutnya, mangsa seorang peniaga ayam di Pasar Paloh yang terpedaya dengan sindiket itu telah memindahkan wangnya sebanyak RM25,500 ke dalam akaun pegawai Bank Negara tersebut.

Mohd. Fawzi berkata, selepas memasukkan wang berkenaan, mangsa cuba menghubungi anggota sindiket terbabit tetapi malangnya panggilannya itu tidak dijawab.

"Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis pada 13 Januari lalu," katanya.

Ekoran laporan tersebut, pihaknya berjaya menahan seorang penagih dadah berusia 33 tahun di sekitar Batu Pahat pada malam Khamis lalu.

Kemudian kami berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 26 tahun dan seorang penagih dadah wanita berusia 24 tahun berhampiran sebuah bank di Batu Pahat pada 15 Januari lalu," katanya.

Justeru, beliau meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa sindiket terbabit agar membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment